THIERRY HENRY menegaskan kepada Mikel Arteta bahawa kecederaan bukan alasan dan Arsenal “mesti” menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini.
The Gunners kali terakhir menjulang kejuaraan liga ketika Henry beraksi dalam musim bersejarah Invincibles 2003-04.
Pasukan kendalian Arteta kini mendahului carta liga dengan kelebihan dua mata ke atas Manchester City menjelang tempoh perayaan yang padat.
Bagaimanapun, Arsenal dilanda krisis kecederaan, dengan pemain pertahanan Ben White menjadi bintang terbaharu yang mengalami masalah tersebut.
Legenda Arsenal berusia 48 tahun itu berkata:
“Kecederaan, jadual yang padat — jangan jadikan itu topik. Semua pasukan ada masalah masing-masing.
“Kita lihat siapa yang masih kekal di penghujung musim. Saya tidak akan ubah pendirian sejak awal musim — kita mesti menjuarai liga.
“Ia perlu berlaku tahun ini. Saya percaya pasukan ini mampu melakukannya dan saya harap kami boleh melepasi garisan penamat itu.
“Dalam satu musim, pasukan pasti akan diuji. Kecederaan akan berlaku dan ada perkara yang tidak memihak kepada anda.
“Soalnya adalah bagaimana anda menghadapinya.”
White, 28, terpaksa dikeluarkan dengan kecederaan hamstring selepas setengah jam permainan dalam kemenangan dramatik 2-1 ke atas Wolves, Sabtu lalu.
Beliau kini dijangka berehat sekurang-kurangnya sebulan.
Pemain bek kanan itu menyertai senarai panjang pemain cedera yang termasuk Gabriel, Kai Havertz dan Cristhian Mosquera, manakala William Saliba, Martin Odegaard, Bukayo Saka, Noni Madueke dan Gabriel Jesus turut terlepas beberapa perlawanan.
Arsenal akan bertandang ke Everton esok untuk memulakan jadual padat selama 19 hari.
Pada Selasa, mereka akan menerima kunjungan Crystal Palace dalam suku akhir Piala Carabao sebelum meneruskan aksi Liga Perdana menentang Brighton, Aston Villa, Bournemouth dan Liverpool sehingga Khamis, 8 Januari.
Dalam tempoh lapan tahun bersama Arsenal, Henry memenangi dua kejuaraan Liga Perdana, tiga Piala FA dan empat Kasut Emas — termasuk tiga berturut-turut dari 2004 hingga 2006.
Juara Piala Dunia 1998 itu juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Arsenal dengan 228 gol.
Ikon Perancis itu memberitahu Betway:
“Biasanya dari tempoh Krismas hingga akhir Februari, anda akan mendapat gambaran lebih jelas tentang apa yang akan berlaku.
“Ketika itu barulah anda boleh bersuara dengan lebih lantang tentang siapa yang boleh memenangi liga atau tidak.
“Kita pernah lihat segala-galanya ditentukan pada hari terakhir, jadi jangan terlalu teruja apabila menang dan jangan terlalu kecewa apabila kalah. Ini perjalanan yang sangat panjang.”
Henry turut menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dalam majlis Anugerah Personaliti Sukan Terbaik BBC.
© New Straits Times Press (M) Bhd



