Jumlah mangsa banjir terus meningkat

Jumlah mangsa banjir terus meningkat

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 14,905 orang membabitkan 4,837 keluarga yang kini berlindung di 110 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri seluruh negara, setakat jam 7 pagi ini.

Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), angka itu membabitkan seramai 4,831 wanita dan lelaki (4,895) meliputi warga emas (1,400) serta orang kurang upaya (OKU, 512), selain kanak-kanak (4,735) dan bayi (444).

Pahang merekodkan jumlah PPS paling banyak beroperasi dengan 82 dibuka di enam daerah membabitkan Kuantan, Maran, Rompin, Pekan, Jerantut dan Lipis yang menempatkan seramai 13,481 mangsa banjir (4,436 keluarga).

Ini diikuti Terengganu di mana 18 PPS dibuka di tiga daerah iaitu Kemaman (15), Hulu Terengganu (1), Dungun (2) yang membabitkan 802 mangsa, manakala Kelantan mengaktifkan empat PPS di dua daerah iaitu Gua Musang (1) dan Kuala Krai (3) yang membabitkan 180 mangsa.

Seterusnya, seramai 356 mangsa membabitkan 93 keluarga ditempatkan di tiga PPS di satu daerah iaitu Mersing, Johor, diikuti Selangor seramai 47 mangsa di tempatkan di satu PPS di Gombak dan Sarawak seramai empat mangsa di daerah Miri.

Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula merekodkan 11 sungai pada tahap bahaya di Pahang, manakala Kelantan satu dan Sarawak dua.

Sebanyak 11 stesen di Pahang ialah Sungai Pahang di Jerantut Feri; Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Belat di Sri Damai, Sungai Kuantan di Kuantan By Pass, Sungai Soi di Jln Pekan, Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut; Sungai Lepar di Jam Gelugor, Kuantan;Sungai Pahang di Waterfront, Bera; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran; Sungai Keratong di Kampung Rekoh, Rompin, Sungai Pahang di Kuala Krau , Temerloh.

Manakala di Sarawak ialah Marudi dan Long Teru, Miri selain di Kelantan di Sungai Lebir di Kuala Tualang, Kuala Krai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top