Doktor racun 30 pesakit, 12 daripadanya meninggal dunia"

Doktor racun 30 pesakit, 12 daripadanya meninggal dunia"

Besancon, Perancis: Seorang doktor di Perancis, Frederic Pechier, 53, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana meracun 30 kanak-kanak dan orang dewasa sekali gus menyebabkan 12 daripadanya meninggal dunia.

Pechier, bekerja sebagai pakar anestesia di dua klinik di bandar timur Besancon antara 2008 dan 2017 ketika pesakit mengalami henti jantung dalam keadaan mencurigakan.

Mangsa termuda, Teddy, 4, terselamat daripada dua henti jantung semasa pembedahan tonsil rutin pada 2016.

Bagaimanapun, mangsa tertua pula berumur 89 tahun.

Hakim Delphine Thibierge memerintahkan, Pechier dipenjara serta-merta dan diharamkan daripada mengamalkan perubatan selamanya.

Peguam yang mewakili Pechier, Ornella Spatafora berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan.

Pendakwaan pula berkata, Pechier menggunakan perubatan untuk membunuh, mencemarkan beg titisan intravena (IV) pesakit dengan kalium, anestetik tempatan, adrenalin dan anticoagulant (bahan pembekuan darah).

Menurut pendakwaan, tujuan Pechier adalah untuk menyakiti secara psikologi rakan sekerja yang berada dalam konflik dengannya dan memuaskan ‘kehausan’ kuasanya.

Dalam pada itu, pihak berkepentingan sivil menyambut baik keputusan mahkamah, termasuk Sandra Simard, yang terselamat daripada jantung berhenti semasa pembedahan.

Seorang lagi mangsa, Jean-Claude Gandon, diracun semasa pembedahan urologi dan berkata, dia kini boleh menyambut Krismas dengan tenang.

Siasatan bermula 2017 selepas jantung pesakit berhenti yang mencurigakan direkodkan terhadap pesakit berisiko rendah.

Susulan itu, Pechier mengaku ada peracunan berlaku di salah satu klinik tempat dia bekerja tetapi menegaskan ia bukan dirinya, sambil berkata, dia bukan seorang peracun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top