Pengantin baharu maut, motosikal rempuh lori rosak

Pengantin baharu maut, motosikal rempuh lori rosak

am@hmetro.com.my

Tawau: Lelaki yang baru mendirikan rumah tangga Oktober lalu, maut selepas motosikal ditungganginya melanggar sebuah lori rosak dan tersadai di atas laluan utama Jalan Sungai Burung, Jalan Apas–Balung, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa Hasan Ambo Latta, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tercampak akibat pelanggaran itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin bin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 6.05 pagi, dan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori Nissan yang sarat membawa muatan baja dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dengan sebuah motosikal Yamaha 135LC.

“Siasatan awal mendapati lori terbabit mengalami kerosakan pada Rabu lalu (17 Disember) jam 10.30 malam, ketika dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas ke Beluran.

“Akibat kerosakan itu, enjin lori mati secara tiba-tiba dan tidak dapat dihidupkan semula, menyebabkan kenderaan tersadai di laluan kiri jalan menghala ke Jalan Apas dan tidak dialihkan dari laluan utama selama hampir dua hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, keadaan menjadi lebih berbahaya apabila kawasan kejadian tidak mempunyai lampu jalan, selain tiada sebarang papan tanda amaran atau kon keselamatan diletakkan bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dari Batu 15, Jalan Apas menuju ke tempat kerja di Kilang Teck Guan dipercayai tidak menyedari kehadiran lori itu lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan kenderaan berkenaan.

“Mangsa yang baru melangsungkan perkahwinan Oktober lalu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Berikutan itu, pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, khususnya memastikan kenderaan yang rosak segera dialihkan ke tempat selamat serta dipasang papan tanda amaran yang jelas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top