Benjolan di mata adik Firas rupanya tumor sel gergasi

Benjolan di mata adik Firas rupanya tumor sel gergasi

am@hmetro.com.my

Ipoh: Ketika bayi lain baru belajar berjalan dan menyebut kata pertama di usia setahun, Firas Affan Mohd Fauzi diuji penyakit kanser yang menyerang bahagian belakang mata.

Firas Affan yang juga anak bongsu pasangan Mohd Fauzi Mohd Fauzi Saad, 43 dan isteri, Anis Azwanie Azmi, 29, mula menunjukkan perubahan apabila benjolan muncul di bahagian mata kanan ketika mencapai usia genap setahun, dua bulan lalu.

Mohd Fauzi berkata, wajah anaknya yang mesra disapa Firas itu berubah secara perlahan-lahan dalam beberapa minggu apabila mengalami benjol seakan ditarik pada mata kanan tanpa menyangka ia adalah petanda penyakit serius.

“Bimbang dengan perubahan itu, saya dan isteri membawanya ke klinik sebelum dirujuk ke hospital.

“Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan Firas menghidap ketumbuhan tumor sel gergasi di orbit mata (Orbital Granular Cell Tumor).

“Bila doktor beritahu, rasa berat sangat nak terima. Tengok muka dia masa tu… mata merah, bengkak teruk sampai tak boleh buka.

“Masa tu saya rasa macam dah tak ada harapan,” katanya ketika ditemui di kediaman di Bandar Lahat Baru, di sini, hari ini.

Bapa empat anak itu berkata, Firas menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak bulan lalu dan setakat ini sudah menjalani dua kitaran kemoterapi.

Katanya, Firas dijadualkan menjalani keseluruhan enam kitaran rawatan kimoterapi sehingga April 2026.

Menurutnya, kesan dua kitaran kemoterapi sebelum ini menunjukkan kesan positif sekali gus melegakan mereka sekeluarga.

Mohd Fauzi berkata, terdapat ketumbuhan yang keluar dari hidung Firas di samping benjolan pada mata kanan anaknya itu kian surut.

Bagaimanapun, katanya, ketumbuhan yang terdapat di bahagian hidung masih ada dan kemungkinan pembedahan hanya akan diputuskan selepas kitaran kemoterapi keempat yang juga bergantung kepada hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

Mohd Fauzi berkata, ujian yang dihadapinya menyebabkan dia yang bekerja sebagai pemandu lori kilang dengan pendapatan sekitar RM80 sehari terpaksa kerap mengambil cuti.

“Sekarang ini memang saya banyak mengambil cuti sebab kena uruskan dan hantar Firas dengan ditemani isteri ke hospital, menjadikan pendapatan bulanan saya sekitar RM2,000 sebelum ini merosot kepada kira-kira RM1,000, sedangkan kos rawatan Firas juga dianggarkan sekitar RM1,000 sebulan.

“Selepas menjalani rawatan, Firas turut menolak susu tepung yang biasa diminumnya dan kini hanya mahu minum susu kotak menyebabkan kami risau mengenai keperluan nutrisinya sebagai pesakit kanser,” katanya.

Katanya, setakat ini keluarganya belum menerima sebarang bantuan tetap daripada agensi kebajikan sebaliknya bergantung kepada sumbangan saudara-mara, rakan dan kutipan orang ramai di kawasan kejiranan mereka.

“Saya cuma nak dia sembuh, jadi macam asal. Tengok dia sekarang ini pun saya dah rasa lega sikit,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd Fauzi di talian 011-11983431.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top