Maut dalam perjalanan ke majlis perkahwinan

Maut dalam perjalanan ke majlis perkahwinan

am@hmetro.com.my

Jerantut : Suami meninggal dunia, manakala isteri parah selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13, Jalan Jerantut–Temerloh, berhampiran Kampung Tebing Tinggi, di sini, petang semalam ketika mereka dalam perjalanan ke majlis perkahwinan di Jitra, Kedah.

Kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu menyebabkan penunggang motosikal berkuasa tinggi, Noor Aizat Abu Bakar, 44, maut di tempat kejadian dan isterinya, Noorhashimah Ramlee, 44, parah.

Adik Noorhashimah, Nur Hidayatul Husna Ramlee, 29, berkata, ketika kejadian, kakak dan abang iparnya itu dalam perjalanan ke Jitra.

Menurutnya, Noorhashimah memaklumkan kepada keluarga mereka akan bermotosikal ke Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan itu petang semalam.

“Sehari sebelum kejadian, kakak ada memaklumkan akan menghubungi saya sebelum beliau bertolak. Bagaimanapun petang semalam kakak tidak pun hubungi saya dan kira-kira jam 8 malam kami terkejut kerana dimaklumkan dia dan abang ipar terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik , Hospital Jerantut, di sini.

Dalam kejadian itu, Noor Aizat yang juga kakitangan Hospital Jerantut, meninggal dunia di tempat kejadian dan isteri parah serta sedang dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

Nahas berlaku ketika motosikal berkuasa tinggi dari arah Jerantut ke Temerloh itu merempuh sebuah SUV dari arah sama apabila kenderaan itu membuang pusingan U secara mengejut.

Tindakan itu menyebabkan Noor Aizat tidak sempat mengelak lalu merempuh SUV terbabit.

Pemandu SUV berusia 73 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Nur Hidayatul Husna, beliau amat terkilan kerana kakak dan abang iparnya turut merancang menganjurkan percutian bersama keluarga ke Krabi, Thailand.

“Sehari sebelum kejadian, saya berbual melalui panggilan video dengan kakak mengenai perancangan keluarga untuk bercuti hujung bulan ini ke Krabi itu.

“Kakak amat teruja dan memaklumkan abang ipar sudah membuat semua persiapan untuk pergi bercuti kerana Allahyarham berhasrat sangat untuk berkumpul dengan semua ahli keluarga kami,” katanya.

Allahyarham dan Noorhashimah memiliki tiga anak lelaki berusia 22, 16 dan 10 tahun.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Utara 3, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mohd Azahari Muhktar berkata, siasatan polis mendapati nahas berlaku kerana kecuaian pemandu SUV membuang pusiangan U di tempat tidak dibenarkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top