Penutup Sukan Sea yang membanggakan – Taufiq Johari

Penutup Sukan Sea yang membanggakan – Taufiq Johari

saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menyifatkan kejayaan pasukan sepak takraw lelaki negara memenangi pingat emas acara regu di Sukan Sea Thailand adalah penutup yang amat membanggakan.

Skuad negara di bawah bimbingan Ahmad Jais Baharun mempamer aksi bertenaga menumbangkan Vietnam 15-9, 15-9 pada aksi final di Stadium Gimnasium Nakhon Pathom, hari ini.

Vietnam sebelum itu melakar kejutan apabila menewaskan Thailand 15-13, 6-15, 15-9 di separuh akhir, sekali gus menafikan final impian antara Malaysia dan Thailand.

“Hari ini kita menyaksikan satu penutup yang cukup mengembirakan negara Malaysia. Penutup yang amat-amat membanggakan.

“Pasukan sepak takraw kita berjaya memenangi peringkat emas untuk lelaki dan gangsa untuk wanita. Ini satu pencapaian yang amat-amat membanggakan, amat-amat hebat yang disumbangkan oleh pasukan Malaysia.

“(Kejayaan ini) merangkumi keseluruhan pingat kita antara yang terbanyak dalam sejarah sejak daripada tahun 2007 yang di luar Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan aksi final hari ini serta menyempurnakan kalungan pingat emas kepada pasukan negara.

Sebelum itu, Thailand juga dimalukan oleh Malaysia, yang mencipta detik manis menamatkan kemarau 34 tahun dengan meraih emas acara regu berpasukan lelaki.

Pingat emas yang dimenangi hari ini adalah yang ke-57 diraih kontinjen negara pada temasya edisi ke-33 kali ini yang turut menyaksikan Malaysia memungut 57 perak dan 117 gangsa untuk keseluruhan 231 pingat, sekali gus melepasi sasaran 200 pingat yang ditetapkan sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top