'Kawal emosi, sayang diri sendiri dulu' – Madammu

'Kawal emosi, sayang diri sendiri dulu' – Madammu

Kuala Lumpur : “Ramai wanita kalah dengan emosi. Kalah dengan masalah rumah tangga, kalah dengan perasaan sendiri.” kata pengasas jenama kecantikan tempatan NOIR, Eriyca Baiduri.

Eriyca Baiduri atau lebih mesra disapa Madammu meluahkan pandangannya mengenai antara kesilapan terbesar wanita dalam dunia perniagaan ialah apabila mereka gagal mengawal emosi sekali gus memberi kesan langsung terhadap prestasi perniagaan.

Beliau menjelaskan salah seorang usahawannya yang sedang membuat jualan, tiba-tiba bergaduh dengan suami, terus emosi terganggu dan jualan jatuh. “Emosi ini sangat bahaya dalam bisnes. Kita kena jaga emosi, kena sayang diri sendiri dulu.

“Saya pun dulu beremosi, tapi kita kena belajar lawan dan betulkan mindset. Pilih circle yang betul. Kalau emosi tak dijaga, bisnes tak akan ke mana,” ujarnya pada majlis pelancaran flagship store pertama NOIR di Pavilion Bukit Jalil baru-baru ini.

Mengulas mengenai pendekatan perniagaan, Madammu memaklumkan kejayaan tidak boleh dibina atas rasa selesa atau ‘syok sendiri’ tetapi perlu berpandukan keperluan pasaran dan kepercayaan pengguna.

Dalam era digital pula, Madammu mengakui tidak semua perubahan mudah diterima, termasuk kemunculan platform seperti TikTok yang pada awalnya sukar difahami.

“Saya pun lambat faham game TikTok. Tapi lama-lama saya sedar, kita kena faham di mana kita berada. Hari ini, pemilik jenama besar pun ‘jual diri’ di TikTok demi memastikan jenama mereka terus relevan dan diingati,” katanya.

Dalam pada itu, selepas lebih 10 tahun membina jenama secara konsisten dalam talian melalui sistem pembangunan usahawan wanita, NOIR kini melangkah ke fasa baharu sebagai sebahagian strategi pertumbuhan jangka panjang, termasuk persediaan awal ke arah penyenaraian awam (IPO).

“Ini adalah langkah pertama kami ke arah IPO. Selepas 10 tahun, kami rasa inilah masa perniagaan ini maju ke langkah seterusnya. Online masih kekal, ejen masih aktif, tetapi sekarang masa untuk buat sesuatu yang baharu dan terus berkembang,” jelas Madammu.

Sebagai manifestasi strategi berkenaan, NOIR secara rasmi melancarkan Flagship Store pertama di Pavilion Bukit Jalil, sekali gus menandakan peralihan jenama daripada platform digital sepenuhnya kepada pengalaman runcit fizikal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top