am@hmetro.com.my
Aceh, Indonesia: Sekurang-kurangnya lapan penduduk Desa Geudumbak, Kecamatan Langkahan, Aceh Utara meninggal dunia akibat kelaparan dan kesejukan ketika berpaut pada pelepah dan pucuk pokok kelapa sawit sewaktu banjir besar melanda kawasan penempatan itu, kira-kira tiga minggu lalu.
Mayat seorang daripada mereka tidak ditemui sehingga hari ini manakala tujuh mayat lagi ditemui di bawah timbunan batang kayu balak yang hanyut ketika banjir melanda pada 26 November lalu.
Mangsa banjir terbabit pada mulanya berlindung di atas atap rumah tetapi kemudiannya terpaksa berpaut pada pelepah pokok kelapa sawit dan pokok buah-buahan apabila rumah mereka mula hanyut dan tenggelam akibat dihentam batang balak dan pohon besar.
Pada masa sama, lebih 40 penduduk termasuk kanak-kanak dan bayi melalui pengalaman menakutkan apabila terpaksa berlindung di atas atap sebuah surau selama dua hari dua malam untuk menyelamatkan diri selepas kediaman mereka mula dinaiki air pada tengah malam hari kejadian.
Imam surau kampung berkenaan, Rostam Abdullah, 49, berkata, penduduk berdekatan surau dua tingkat di kampung berkenaan terpaksa memanjat sehingga ke bumbung ketika banjir kerana sudah terkepung dengan air sungai yang melimpah deras.
“Air banjir dari sungai naik dengan cepat sehingga menenggelamkan bahagian bawah dan merobohkan sebahagian struktur surau. Penduduk yang tidak sempat keluar dari kampung menyelamatkan diri sehelai sepinggang ke surau ini.
“Namun air terus naik sehingga ke tingkat dua dan memaksa mereka sama ada lelaki atau wanita, kanak-kanak memanjat naik ke bumbung termasuk saya. Terdapat seorang mangsa banjir mengalami strok.
“Sebelum banjir hampir menenggelamkan tingkat dua surau ini, lelaki strok berkenaan diikat dengan tali sebelum ditarik naik ke atas. Keadaan amat cemas, sukar dan menakutkan kerana sekeliling sudah menjadi lautan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan sempena Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 di surau tersebut, yang dijadikan pusat perlindungan mangsa banjir dan tempat mengagihkan bantuan.
Misi itu dianjurkan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasar raya besar Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir di wilayah Aceh dan sekitarnya.
Rostam berkata, keadaan menjadi semakin cemas apabila hujan berterusan tiga hari tanpa henti dan banjir bertambah buruk hingga arus derasnya membawa batang kayu serta balak yang hanyut dari gunung berdekatan.
Menurutnya, longgokan kayu balak yang dibawa arus itu kemudian seperti membentuk benteng di tepi surau berkenaan seolah-olah menghalang banjir daripada terus merobohkan struktur bangunan surau.
Pada masa sama katanya, dapat dilihat arus banjir yang membawa kayu balak merobohkan lebih 100 rumah penduduk sebelum hanyut dan hilang ditelan arus deras dalam sungai di kampung itu.
“Rumah saya turut runtuh dan hilang sekelip mata. Rumah dan kereta saya hanyut dan yang tinggal kini hanya tapak rumah. Lebih 200 hektar kebun milik penduduk kampung ini juga musnah.
“Terdapat kira-kira 150 rumah di desa ini dan lebih 100 rumah hanyut iaitu hampir 80 peratus rumah di kampung ini. Keadaan itu membuatkan mangsa banjir terbabit hilang tempat tinggal dan terpaksa tinggal di surau ini dan mendirikan khemah,” katanya.
Imam itu berkata, sepanjang dua hari berlindung atas bumbung surau, penduduk hanya minum air hujan dalam keadaan hujan dan kesejukan serta terpaksa menahan lapar selama dua hari dua malam.
Selepas dua hari katanya, air mula surut tetapi hanya di tingkat dua surau itu dan mereka berlindung pula di tingkat dua dan tidak dapat pergi ke mana-mana kerana tingkat bawah masih tenggelam.
“Semasa banjir, sebahagian penduduk berlindung di surau ini manakala yang lain ke tempat tinggi dan mendirikan khemah selain ada juga yang memanjat pokok kelapa serta pokok kelapa sawit.
Rostam berkata, penduduk bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak dalam dan luar negara yang menyumbang termasuk dari Malaysia kerana prihatin dengan nasib mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




