am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu antara alasan penghakiman menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan Titah Adendum, supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Yee Ching juga memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
“Titah Adendum bukanlah satu perintah yang sah. Sehubungan itu perintah tahanan di rumah tidak boleh dilaksanakan,” katanya.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman terbabit di bawah tahanan rumah.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Permohonan bekas Perdana Menteri untuk tahanan rumah bermula pada 2024, susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya.
Ia dibuat selepas Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International kepada enam tahun, serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud satu titah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, selain titah diraja utama yang mengurangkan hukumannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




