'Sudah tentu Najib sangat kecewa' – Shafee

'Sudah tentu Najib sangat kecewa' – Shafee

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa kecewa susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum bagi menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, kekecewaan itu berpunca daripada isu berkaitan Titah Adendum yang masih belum diselesaikan walaupun sudah berlarutan hampir dua tahun.

“Sudah tentu beliau (Najib) sangat kecewa. Keputusan mengenai Titah Adendum diberikan pada 2024 dan sekarang sudah dua tahun,” katanya di sidang media bersama pengamal media, di sini, hari ini.

“Jelas ada ketidakjujuran dalam isu ini kerana selama ini kami disesatkan apabila kewujudan adendum dinafikan.

“Kami memohon salinan asal Titah Adendum kerana ia penting untuk menentukan siapa yang memegangnya, bagaimana ia dikeluarkan dan siapa yang menyembunyikannya,” katanya di sidang media bersama pengamal media, di sini, hari ini.

Muhammad Shafee berkata, kegagalan pihak berkuasa menangani isu berkenaan secara telus menimbulkan persoalan serius terhadap tadbir urus dan integriti institusi berkaitan.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan secepat mungkin dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan berkenaan.

“Kami memohon agar alasan penghakiman bertulis dan rekod rayuan disegerakan. Tiada jalan lain selain proses rayuan.

“Terdapat keperluan lain untuk parol tetapi kami tidak mendedahkannya buat masa ini. Najib sudah membincangkannya tetapi tidak memberi arahan.

“Kami berpandangan bahawa klien kami tidak mendapat keadilan yang sewajarnya dan isu ini bukan sekadar kes individu, tetapi melibatkan institusi Raja Melayu, Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang negara,” ujarnya.

Hari ini, Mahkamah Tinggi di sini, menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman pemenjaraannya di bawah tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan dan membaca alasan penghakiman selama hampir sejam.

Dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi itu bekas Perdana Menteri itu akan terus menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tempoh hukuman tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top