am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kereta Perodua Axia putih yang terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Ampang Jajar, di Persiaran Taman Jeragan di sini hari ini sudah ditemukan.
Pemandu kereta terbabit, Ooi Cheah Jhun, 28, yang beralamat di Taman Anggerik, di sini ditemukan lemas dalam kenderaan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, kereta Perodua Axia itu ditemui pada jam 2.35 petang oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah ketika melakukan selaman.
Beliau berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas VRS 2000 untuk timbulkan kenderaan itu yang ditemui di dasar sungai pada kedalaman tujuh meter.
“Hasil pemeriksaan menemukan mangsa iaitu pemandu kereta itu masih berada dalam kenderaan dan memakai tali pinggang keledar.
“Kenderaan mangsa dipercayai meluncur laju kira-kira 49 meter sebelum melanggar besi penghadang dan terjunam ke dalam sungai.
“Menurut saksi kejadian, mereka ternampak kereta itu jatuh tetapi timbul semula sebelum tenggelam perlahan-lahan dalam sungai, ” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Ismail berkata, mangsa berjaya dibawa keluar dan selesai diangkat ke tebing pada jam 2.39 petang dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi dan diserahkan kepada polis pada jam 3.03 petang.
Beliau berkata, operasi penyelamatan disertai 12 anggota PPDA dari BBP Jitra dan Sungai Petani serta 19 anggota dari BBP Alor Setar.
“Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) , ” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang individu dikhuatiri lemas selepas kereta yang dipandunya dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Ampang Jajar, di Persiaran Taman Jeragan, di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




