Beijing: Seorang wanita China yang sebelum ini bekerja sebagai pengarah seni mencetuskan sensasi selepas berhenti kerja untuk menjadi atlet tempur profesional, sekali gus menjadi peserta wanita pertama dari negara itu dalam Kejohanan Dunia Pertarungan Tampar (World Slap Fighting Championship).
Memetik laporan South China Morning Post, Ding Miao, 33, pada mulanya mengambil jurusan lukisan minyak di Akademi Seni Halus Pusat, salah satu sekolah seni paling berprestij di China.
Selepas tamat pengajian, dia membina kerjaya cemerlang dalam industri permainan video sebagai pengarah seni dengan pendapatan tahunan sebanyak 300,000 yuan (kira-kira RM 185,000).
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun bekerja, Ding Mioa secara tidak sengaja menemukan minat dalam sukan tempur sebelum memutuskan untuk berhenti kerja bagi mengejar impian sebagai pejuang seni mempertahankan diri campuran (MMA) profesional.
Sejak penampilan sulungnya pada November 2016, dia mengumpul rekod mengagumkan dengan 18 kemenangan dan lapan kekalahan selain mencapai kadar penamat 100 peratus.
Kemenangan itu termasuk sembilan melalui ‘knockout’ (KO) dan sembilan lagi melalui teknik kuncian (submission).
Pada 2019, ketika mencatatkan lima kemenangan berturut-turut, Ding Miao mengalami patah tulang tangan semasa latihan di luar negara yang memerlukan pembedahan.
Dugaan lebih berat melanda apabila dia menjadi mangsa penipuan ketika cuba membuka gimnasium tinju menyebabkan semua wang simpanannya hilang dan menanggung hutang sebanyak 300,000 yuan (kira-kira RM185,000).
Demi menyara hidup dan melunaskan hutang, dia pernah mengendalikan sehingga 13 sesi latihan peribadi dalam sehari.
Selepas berjaya melunaskan segala hutangnya, dia secara rasmi menandatangani kontrak dengan Power Slap di bawah UFC pada Ogos lalu menjadi peserta wanita pertama dari China.
Dalam perlawanan sulungnya di Power Slap 16 di Abu Dhabi pada Oktober lalu, Ding berdepan pejuang berpengalaman Amerika Syarikat, Destiny McCubbin, namun penyertaannya dibatalkan akibat melakukan kekasaran secara tidak sengaja.
Meskipun tumpas, dia menganggap perlawanan itu sebagai peluang untuk menghadapi ketakutan dan menunjukkan kekuatan diri kepada dunia.
Katanya, cara terbaik untuk mengatasi ketakutan adalah dengan menghadapinya dan sukan ini memaksa dirinya untuk tenang walaupun berdepan ancaman fizikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd



