Abang lemas ketika cuba selamatkan adik ketika tangkap ikan laga

Abang lemas ketika cuba selamatkan adik ketika tangkap ikan laga

am@hmetro.com.my

Pekan: “Malam kelmarin arwah begitu selera makan nasi dengan lauk sambal telur, empat kali bertambah sedangkan sebelum ini dia tidak kuat makan,” kata bapa mangsa lemas, Abd Rahim Saidin, 40.

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 12, maut dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya, Muhammad Rayan Firrdaus, 9, yang terjatuh dalam parit besar di Kampung Permatang Tepung, dekat sini.

Menurut Abd Rahim, anak sulungnya yang dipanggil Abang bersama 10 rakan sekampung menangkap ikan laga di tepi kawasan besar di kampung berkenaan, berikutan paras air yang meningkat selepas hujan beberapa hari.

“Arwah dan rakan-rakan biasa menangkap ikan laga di kawasan terbabit, namun tidak pernah berlaku sebarang kejadian buruk berlaku.

“Saya pelik melihat kelainan pada Abang apabila makan berselera nasi bersama sambal telur, saya tidak menduga itu menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

“Saya reda dengan kehilangannya yang manja sejak kecil lagi, ujian ini berat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, dia terkilan apabila tidak membenarkan arwah memakai kasut sekolah baharu pada majlis graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya, ketika menaiki pentas bagi menerima sijil penghargaan.

“Beberapa kali dia merayu memakai kasut baharu berwarna hitam yang dibeli oleh ibunya sebelum akhirnya akur dengan larangan. Kasut itu sepatutnya dipakai ketika buka sekolah nanti.

“Parit itu terletak 100 meter daripada rumah. Jiran datang memaklumkan kejadian itu sebelum saya terus ke tempat kejadian. Penduduk kampung berusaha mencari arwah dalam parit dengan keadaan air deras.

“Mayat arwah ditemui pada 7.15 selepas dua kali penduduk melaungkan azan,” katanya.

Rakan mangsa, Amirul Hakimi Mahyuddin, 12, yang turut sama menangkap ikan laga berkata, dia sempat menarik tangan adik mangsa, Muhammad Rayan Firrdaus yang terjatuh dalam parit besar itu.

“Arwah segera turut ke dalam parit semata-mata untuk menyelamatkan adiknya, namun tidak berjaya kerana dia dibawa arus deras air yang membawanya ke bawah pembentong.

“Saya sempat sekali melihat tangan mangsa sebelum dia tenggelam dibawa arus yang deras dan air berputar. Arwah baik dan pandai berkawan.

“Arwah dan adiknya berjaya menangkap 30 ikan laga yang cantikn,” katanya yang berjanji tidak akan meneruskan hobi menangkap ikan laga selepas ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top