Los Angeles: Bekas pelakon kanak-kanak Amerika, Tylor Chase, 36, dilaporkan hidup sebagai seorang gelandangan di tepi jalan Riverside, California.
Dalam sebuah video yang tular di TikTok, orang awam dililhat menghampiri Chase yang kelihatan tidak terurus.
Apabila ditanya sama ada dia pernah muncul di Disney Channel, pelakon itu mendedahkan dia pernah muncul di siri Nickelodeon, sekali gus mengesahkan identitinya kepada kamera.
Menurut pelbagai laporan media Amerika Syarikat, perbezaan ketara antara remaja ceria yang pernah menghiasi televisyen dan keadaan semasanya telah mencetuskan gelombang kebimbangan dalam kalangan peminat serta rakan seperjuangannya.
Walaupun satu kempen pengumpulan dana pada awalnya dilancarkan bagi membantu pelakon itu dan berjaya mengumpul lebih AS$1,200 (kira-kira RM4,880), dana itu kemudiannya dinyahaktifkan dengan pantas.
Video tular itu mencetuskan perbincangan penuh emosi dalam kalangan rakan artis yang lain iaitu Devon Werkheiser, Lindsey Shaw dan Daniel Curtis Lee menerusi podcast terbaharu mereka.
Walaupun ketiga-tiga mereka menyatakan hasrat yang kuat untuk membimbing Chase ke arah kehidupan vang lebih baik, mereka menegaskan bahawa kemunculan di media bukanlah keutamaan ketika ini.
Terdahulu, Chase dikenali sebagai Martin Owerly yang petah berkata- kata dalam siri Nickelodeon, ‘Ned’s Declassified School Survival Guide’ suatu ketika dahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




