am@hmetro.com.my
Alor Setar: Seorang lelaki layak digelar bapa mentua durjana kerana sanggup bersekongkol dengan menantu lelakinya untuk melakukan kegiatan jenayah samun sebelum mereka akhirnya ditahan polis, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, hubungan menantu dan bapa mentua lebih erat apabila mereka sama-sama terjebak dengan aktiviti jenayah itu dan masing-masing turut mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, mereka ditahan selepas polis menerima laporan polis dari seorang penuntut wanita warga Tanzania selepas dia disamun seorang lelaki tempatan yang menaiki sebuah motosikal ketika berjalan kaki di Masjid Al Bukhary, di sini pada jam 11 malam, Jumaat lalu.
“Bertindak atas laporan polis itu, pada 20 Disember jam 2.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Kota Tanah, Lorong Air Putih.
“Hasil serbuan dilakukan, polis menahan dua lelaki berusia 23 tahun yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan lelaki berusia 46 tahun dengan 12 rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kabel dan memiliki dadah, ” katanya pada sidang media di IPK Kedah, di sini hari ini.
Adzli berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek terbabit, polis berjaya menyelesaikan lima kes samun (ragut), tiga kes jenayah harta benda iaitu dua pecah rumah serta satu kes curi motosikal di Kota Setar.
Katanya, suspek yang juga bapa mentua dan menantu ini dipercayai bergerak aktif sejak tiga bulan lalu dan aktif di sekitar daerah Kota Setar.
“Selain itu, polis turut merampas motosikal Modenas Kriss, dua telefon bimbit, sebuah tablet dan dua jam tangan jenama Rolex dan Seiko.
“Kesemua barangan itu sudah dibuat pengecaman oleh mangsa, ” katanya.
Adzli berkata, berdasarkan modus operandi mereka, menantu lelaki berperanan meragut dengan menyasarkan wanita berjalan kaki dengan menaiki motosikal, manakala bapa mentua berperanan melupuskan bahan bukti milik mangsa.
Beliau berkata, suspek meragut beg mangsa sebelum mengambil wang tunai serta barangan berharga, manakala barangan lain dibuang ke Sungai Kedah bagi menghapuskan bukti.
“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Tempoh reman terhadap kedua-dua suspek dilanjutkan sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




