Nasib pengayuh beca warga emas di Kuala Terengganu

Nasib pengayuh beca warga emas di Kuala Terengganu

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Di sebalik kerancakan pembangunan moden, pengangkutan ikonik negeri Terengganu, beca roda tiga tradisional kini berada di ambang kepupusan.

Suatu ketika dahulu, ia adalah nadi pengangkutan utama, namun kini perkhidmatannya semakin dipinggirkan oleh masyarakat.

Tinjauan di Pasar Payang mendapati sekumpulan kecil pengayuh beca terdiri daripada warga emas yang masih setia menunggu pelanggan. Daripada puluhan pengayuh suatu masa dahulu, kini hanya tinggal sekitar lima hingga enam orang sahaja yang masih bertahan.

Malah, mereka kini hanya menjadi ‘prop’ bergambar pelancong domestik mahupun antarabangsa, bukan lagi untuk merasai pengalaman menaiki beca, sebaliknya sekadar menjadikannya sebagai latar belakang gambar.

Mohd Nasir Jusoh, 69, berkata, pengayuh beca semakin terhimpit apabila bakti mereka kini hanya dihargai melalui lensa kamera tanpa sebarang upah kayuhan.

“Ramai yang singgah, tapi sekadar untuk merakamkan gambar. Kami tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya pada hasil kayuhan untuk menyara keluarga,” katanya.

Katanya, ada dalam kalangan pengayuh beca meneruskan kelangsungan hidup dengan melakukan kerja sampingan seperti menjual air balang dan sate ikan demi memastikan dapur di rumah terus berasap.

Seorang lagi penarik beca, Abdullah Mohamad, 70, mengakui pendapatan mereka terjejas teruk sejak awal tahun lalu, namun semangat cintakan warisan sejarah menyebabkan mereka enggan menggantung ‘tayar’ beca tersebut.

“Kami bertahan supaya simbol ikonik ini tidak hilang ditelan zaman. Mujurlah ada peniaga di Pasar Payang yang bersimpati dan menghulurkan bantuan barangan asas seperti beras dan minyak masak setiap minggu untuk meringankan beban kami,” katanya.

Bagi mengelakkan beca roda tiga lenyap terus, Abdullah menyarankan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif.

Antara cadangan yang diketengahkan adalah menutup laluan sejauh satu kilometer dari Dataran Shah Bandar ke Pasar Payang kepada kenderaan moden.

Langkah itu dilihat menarik pelancong menggunakan perkhidmatan beca untuk membeli-belah, sekali gus menjamin pendapatan tetap kepada pengayuh beca warga emas ini sebelum sejarah mereka benar-benar terkubur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top