Man United bimbang Fernandes tersisih enam perlawanan

Man United bimbang Fernandes tersisih enam perlawanan

Manchester: Manchester United bimbang mereka mungkin akan kehilangan kapten Bruno Fernandes bagi perlawanan derbi menentang Manchester City, bulan depan selepas pemain itu cedera di bahagian hamstring.

Fernandes terpaksa digantikan pada separuh masa pertama ketika kekalahan 1-2 di tangan Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad selepas mengadu kesakitan di penghujung babak awal.

Pengendali United, Ruben Amorim mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan tisu lembut dipercayai pada hamstring.

Pemain berusia 31 tahun itu difahamkan tidak dapat diturunkan bagi perlawanan Boxing Day menentang Newcastle.

Fernandes mungkin akan terlepas sehingga enam perlawanan berturut-turut termasuk menentang Newcastle, Wolves, kunjungan ke Leeds dan Burnley, pusingan ketiga Piala FA menentang Brighton serta derbi Manchester di Old Trafford pada 17 Januari.

Tarikh kepulangan Fernandes dijangka ketika lawatan ke Stadium Emirates menentang Arsenal pada 25 Januari.

Ini kali pertama Fernandes terpaksa berehat panjang akibat kecederaan bersama United.

Sebelum ini, beliau hanya terlepas dua perlawanan akibat kecederaan pada Mei 2024 dan satu perlawanan kerana sakit pada Mac 2022.

Amorim, 40, kini hanya mempunyai dua pemain tengah untuk perlawanan menentang Newcastle, dengan Kobbie Mainoo turut direhatkan akibat kecederaan betis.

Casemiro akan kembali selepas penggantungan satu perlawanan manakala Manuel Ugarte membuat penampilan pertama dalam hampir tiga bulan di Villa Park.

United gagal mendapatkan pemain tengah baharu pada musim panas lalu selepas menumpukan perbelanjaan kepada bahagian serangan dengan pembelian Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko dalam perbelanjaan 207.12 juta pound (RM1.1 bilion).

Kelab itu sedang memantau beberapa pemain seperti Elliot Anderson (Nottingham Forest), Adam Wharton (Crystal Palace), Carlos Baleba (Brighton) dan Alex Scott (Bournemouth) bagi menyusun semula bahagian tengah musim depan.

Anderson, 23, diikat kontrak sehingga 2029 di Nottingham Forest dan cukup menonjol dalam skuad utama England di bawah Thomas Tuchel.

Wharton, 21, lebih mampu milik dan boleh menjadi sasaran United berdasarkan rekod jualan pemain muda Crystal Palace.

Baleba, 21, terikat kontrak dengan Brighton hingga 2028, namun nilainya menurun sejak minat United dilaporkan.

Scott, 22, baru menerima panggilan pertama ke skuad England dan menjadi tonggak tengah Bournemouth.

United sebelum ini dikaitkan dengan rakan sepasukan Scott, Tyler Adams, tetapi pemain Amerika Syarikat (AS) itu mengalami kecederaan ligamen kolateral medial ketika perlawanan berkesudahan seri 4-4 di Old Trafford.

Keadaan Fernandes menimbulkan kebimbangan besar menjelang beberapa perlawanan penting United termasuk pertembungan tetangga yang sering menjadi penentu momentum liga mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top