rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ejen insurans dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dengan menyamar sebagai pengarah syarikat pengurusan kewangan sehingga mangsa mengalami kerugian RM900,000.
Teong Chooi Tim, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang lelaki berusia 33 tahun dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah pengarah syarikat dan menawarkan pulangan keuntungan lumayan dengan bayaran modal perniagaan berjumlah RM900,000 padahal dia bukanlah pengarah syarikat berkenaan.
Perbuatan itu mendorong mangsa membuat pemindahan wang menerusi 31 kali transaksi ke dalam 17 akaun, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Alam Damai, Cheras dekat sini, antara 25 November 2023 hingga 22 Disember 2023.
Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri ke balai polis terdekat sehingga kes selesai.
Peguam Ng Mei Yi yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung kos perubatan bapa yang menghidap penyakit kronik.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Januari depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



