Bisik kata semangat, peminat umpama kekuatan Siti Nurhaliza

Bisik kata semangat, peminat umpama kekuatan Siti Nurhaliza

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan peminat setianya iaitu Mohd Fadzil bukan sekadar peminat biasa, sebaliknya individu yang sentiasa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi sejak sekian lama.

Menurut Siti, 46, dia sudah dimaklumkan lebih awal mengenai keadaan kesihatan Mohd Fadzil dan berasa amat terkejut apabila mengetahui peminat berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami komplikasi kesihatan serius akibat tekanan darah tinggi.

“Peminat saya, Mohd Fadzil antara peminat yang sangat setia dengan saya sejak dulu. Ke mana sahaja saya pergi dia sentiasa ada.

“Dia mengalami masalah kesihatan serius dan kini ditempatkan di ICU. Saya dimaklumkan pembuluh darahnya pecah akibat tekanan darah tinggi,” katanya.

Siti berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Hemisfera Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Siti, dia berpeluang menziarahi Mohd Fadzil di wad kecemasan sebelum peminatnya itu dipindahkan ke ICU, meskipun mempunyai komitmen kerja pada hari kejadian.

Katanya, dia juga mendapat keizinan dari suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang turut memahami hubungan rapat Siti dengan peminat sejak awal pembabitannya dalam industri seni tempatan.

“Setiap kali kami ke luar negara, dia (Mohd Fadzil) akan datang menghantar dan menyambut. Mana mungkin kami tidak berasa sedih dan tersentuh dengan keadaan yang menimpanya,” katanya.

Ditanya mengenai peminat, Siti akui sokongan mereka antara faktor utama yang membolehkan dia terus bertahan dan kekal relevan dalam industri hiburan sehingga hari ini.

Katanya, kehadirannya ke hospital itu untuk memberikan semangat kepada Mohd Fadzil, walaupun dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Lawatan itu turut disertai ahli keluarga Mohd Fadzil serta beberapa peminat lain yang hadir memberikan sokongan moral.

“Hakikatnya, peminat adalah kekuatan bagi seorang artis. Tanpa sokongan mereka, mungkin saya tidak akan berada pada tahap sekarang atau mampu kekal sampai hari ini.

“Saya harap kehadiran saya dapat memberi sedikit semangat kepadanya. Walaupun, dia tidak sedar, mungkin dia masih boleh mendengar,”katanya.

Pada masa sama, Siti turut memohon orang ramai agar sama-sama mendoakan kesembuhan Mohd Fadzil dan berharap agar berlaku keajaiban daripada Allah SWT.

“Saya amat mengharapkan doa daripada semua pihak supaya Allah memberikan keajaiban dan memudahkan segala urusan,” katanya.

Terdahulu, perkongsian video lawatan Siti yang dimuat naik oleh kelab peminat Sitizoners di TikTok tular dan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-rata memuji keprihatinan serta keperibadian Siti sebagai artis berjiwa besar dan tidak pernah melupakan jasa peminat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top