Kes video tular 'amoi' berhijab minum arak: Polis tahan 2 individu

Kes video tular 'amoi' berhijab minum arak: Polis tahan 2 individu

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu bagi membantu siasatan selepas penularan rakaman video memaparkan seorang individu memakai tudung sambil minum minuman keras di sebuah salon.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung video tular terbabit dan siasatan dijalankan oleh Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) (D5) JSJ Bukit Aman.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan, jika disabitkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun atau tidak lebih lima tahun.

“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berumur 22 dan 24 tahun hari ini pada jam lebih kurang 4.30 petang di Subang Jaya bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati individu yang memakai tudung dalam rakaman adalah seorang lelaki,” katanya.

Dalam pada itu, Kumar menegaskan, PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menghina atau mempermainkan sensitiviti agama, sekali gus menimbulkan suasana tidak harmoni.

“Orang ramai turut digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutama berkaitan isu 3R (Religion, Race, Royalty),” katanya.

Hari ini Harian Metro melaporkan, satu video tular memaparkan seorang pemuda berhijab menikmati minuman keras di sebuah salon mencetuskan pelbagai reaksi warganet.

Video berdurasi 28 saat itu dikesan mula tular selepas ia dimuat naik seorang pengguna TikTok yang berkongsi rakaman tangkap layar diambil daripada sebuah akaun media sosial lain.

Menerusi video terbabit kendengaran rakan-rakannya mempersendakan tindakan pemuda itu sambil memanggilnya ‘amoi’ dan bergelak ketawa

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top