Banda Aceh: Jumlah mangsa maut akibat banjir besar dan tanah runtuh di Sumatera, Indonesia, meningkat sebanyak 17 orang, menjadikan jumlah keseluruhan kini 1,129, menurut Ketua Pusat Data, Agensi Mitigasi Bencana Negara (BNPB), Abdul Muhari.
Memetik Kompas, pertambahan korban itu membabitkan 14 orang di Aceh Utara, manakala masing-masing seorang di Tapanuli Tengah, Bandar Sibolga dan Sumatera Barat.
Abdul berkata, setakat ini, pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Gabungan masih meneruskan pencarian terhadap 174 mangsa yang belum ditemukan.
Katanya, bilangan penduduk yang masih berada di pusat pemindahan adalah seramai 496,293 orang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga hari ini, 12 daerah dan bandar sudah beralih status daripada tempoh tindak balas kecemasan kepada status peralihan kecemasan.
“Wilayah terbabit merangkumi masing-masing empat daerah dan bandar di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
“Masih terdapat juga beberapa kawasan yang memutuskan untuk melanjutkan status tindak balas kecemasan sehingga 28 atau 30 Disember akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, berkenaan kerja pemulihan di lapangan pula, Abdul berkata, ia sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, kerajaan menyiapkan pembinaan kediaman sementara dan kediaman kekal untuk mangsa bencana.
Menurutnya, usaha mempercepat pemulihan akses jalan dan jambatan turut dijalankan, terutama bagi memastikan kelancaran pengangkutan menjelang cuti Krismas dan Tahun Baharu.
“Ketika ini, pemulihan di Sumatera Barat hampir mencapai 100 peratus, manakala di wilayah Tapanuli Raya, Sumatera Utara, kemajuannya sudah mencapai antara 80 hingga 90 peratus,” katanya.
Bagi wilayah Aceh, laluan Lintas Timur dan Lintas Barat secara umumnya sudah boleh dilalui.
Fokus pemulihan kini tertumpu kepada pemasangan jambatan Bailey di titik kritikal bagi memastikan hubungan wilayah ke Aceh Tengah terus terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd



