am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran rokok secara haram ditahan dalam Op Taring Alpha 1 di sebuah rumah teres di Klang, Selangor, semalam.
Lelaki tempatan berusia 60-an itu ditahan dalam operasi dilakukan anggota cawangan perisikan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 2.30 petang.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Amanjit Singh berkata, pihaknya turut merampas 750 karton rokok putih yang dipercayai tidak memiliki cukai kastam.
Katanya, turut dirampas sebuah Nissan Almera disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran.
“Hasil keseluruhan rampasan dalam serbuan itu dianggarkan bernilai RM320,000.
“Lelaki berkenaan dan kesemua barang rampasan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 167,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek adalah pekerja dan rokok berkenaan untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor.
“Modus operandi kegiatan itu adalah menjadikan rumah kediaman sebagai stor sebelum rokok itu diedar menggunakan kenderaan,” katanya.
Amanjit berkata, orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




