Penolong jurutera didenda RM16,000 bersalah dua tuduhan rasuah

Penolong jurutera didenda RM16,000 bersalah dua tuduhan rasuah

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) didenda RM16,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000 pada 2022.

Hakim Sazlina Safie turut memerintahkan tertuduh, Mohd Yusrizal Md Ledza, 43, di penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Yusrizal didakwa menerima suapan RM1,000 daripada seorang wanita yang dipindahkan secara dalam talian ke dalam akaun miliknya, sedangkan tertuduh mengetahui wanita itu mempunyai hubungan dengan tugasan rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank cawangan Temerloh pada 7 Mac 2022.

Tertuduh juga dituduh menerima suapan RM1,000 daripada wanita itu di tempat sama pada 23 Mac 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Terdahulu peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin memohon hukuman minimum dikenakan terhadap anak guamnya dengan pendapatan RM4,200 sebulan serta menanggung seorang isteri dan tiga anak.

“Tertuduh juga sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Oleh itu, mahkamah juga diharap memberi pertimbangan atas faktor kesalahan pertama dan kerjasama yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah sepanjang kes,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir membantah rayuan itu sebaliknya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top