Istanbul: Wanita Pertama Turkiye, Emine Erdogan pada Jumaat menzahirkan keyakinan bahawa rakyat Palestin percaya Gaza bakal bangkit semula daripada kemusnahan, sambil menegaskan “kami juga mempercayainya.”
Menurut Anadolu Ajansi, kenyataan itu dibuat ketika beliau merasmikan pembukaan Pameran Palestin Kalanlar (The Remnants) yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Kalyon dan Bulan Sabit Merah Turkiye di Istanbul.
Erdogan menyifatkan Gaza yang berkeluasan hanya 365 kilometer persegi itu kini menjadi pusat kepada jenayah genosid paling berdarah, kejam dan sistematik dalam sejarah, satu penderitaan yang tidak tertanggung oleh hati nurani.
Di sebalik kemusnahan besar itu, dua juta penduduk yang masih tinggal kini berjuang untuk terus hidup dalam keadaan “sukar yang tidak terbayangkan” demi memastikan Gaza terus bertahan, jelas beliau.
Mengimbau kata-kata penyair Palestin, Allahyarham Refaat Alareer yang terkorban dalam serangan udara Israel pada Disember 2023, Erdogan berkata: “Apa yang menjadi tanggungjawab kita adalah menceritakan kisah mereka yang masih ada, mengangkat suara demi pelaksanaan undang-undang antarabangsa dan agar kekejaman ini dihentikan serta-merta.”
Menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak berdiam diri menghadapi pencerobohan, beliau berkata: “Pelukis yang kehilangan peralatan melukis menggambarkan kelaparan menggunakan jelaga periuk yang tidak lagi mendidih.”
Jelas Erdogan, pelukis itu “mengganggu permainan persepsi dengan realiti seni yang tidak dapat dinafikan.”
Beliau turut menyentuh mengenai seorang jurutera pertanian wanita yang menukar air laut kepada air minuman, sambil menambah bahawa wanita itu berjaya memintas sekatan menerusi ilmu pengetahuan.
“Mempertahankan Palestin bermakna bukan sahaja mempertahankan rakyat Palestin tetapi seluruh manusia, nilai-nilai yang menjaganya dan di atas segalanya, hak kita untuk kekal sebagai manusia,” tambah Erdogan.
Presiden Yayasan Kalyon, Reyhan Kalyoncu memberitahu Anadolu bahawa pameran itu disediakan bagi memaparkan maruah, kepercayaan dan perjuangan berterusan rakyat Palestin untuk terus wujud.
Majlis pembukaan itu turut dihadiri Duta Palestin ke Ankara, Nasri Abu Jaish; Presiden Bulan Sabit Merah Turkiye, Fatma Meric Yilmaz dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kalyon Holding, Cemal Kalyoncu.
Pameran yang menampilkan enam instalasi di enam bilik dan satu kawasan pengalaman itu akan berlangsung sehingga 30 Mac di Budaya Kalyon, Istanbul.
Sup Palestin, bagel, zaitun dan kurma turut dihidangkan di pameran itu bagi meningkatkan kesedaran mengenai situasi di Palestin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




