Chiang Mai: Seorang warga emas ditemukan maut di dalam rumahnya di Ban Pang Hai, di sini selepas tergelincir ketika sedang memakai seluar.
Memetik laporan MustShareNews, lelaki berusia 75 tahun itu dipercayai terjatuh sebelum kepalanya terkena pada katil di dalam rumah berkenaan dalam kejadian pada Rabu lalu.
Pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.50 petang selepas menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa.
Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat menemukan mangsa terbaring di sisi katil dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami luka parah di kepala dan kehilangan banyak darah di tempat kejadian.
Siasatan mendapati lelaki itu menetap di kawasan berkenaan selama hampir dua dekad bersama isterinya sebelum wanita itu meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Mangsa dilaporkan tinggal bersendirian selepas anak-anak tiri hasil perkahwinan terdahulu isterinya berpindah ke tempat lain.
Polis percaya mangsa hilang imbangan semasa memakai seluar lalu tergelincir dan kepalanya terkena pada bucu atau bahagian katil.
Impak kuat itu menyebabkan pendarahan teruk dan mangsa dipercayai tidak sempat meminta bantuan sebelum meninggal dunia akibat kecederaan itu.
Kejadian disedari selepas anak angkatnya yang gagal menghubungi mangsa berkunjung ke rumah dan melihat darah mengalir keluar dari pintu rumah.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut kerana tiada unsur jenayah ditemui.
© New Straits Times Press (M) Bhd




