4 warga Sepanyol hilang, bot karam di pulau Indonesia

4 warga Sepanyol hilang, bot karam di pulau Indonesia

Jakarta: Sebuah bot pelancong karam di perairan berhampiran Taman Negara Komodo, Indonesia menyebabkan empat pelancong warga Sepanyol hilang, menurut seorang pegawai penyelamat hari ini, lapor agensi berita Jerman dpa.

Bot berkenaan membawa 11 orang ketika ia karam pada lewat Jumaat di selat berhampiran Pulau Padar yang terletak dalam kawasan taman negara itu, kata Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Maumere, Fathur Rahman.

Beliau berkata, penumpang terdiri daripada enam pelancong Sepanyol, empat kru dan seorang pemandu pelancong tempatan.

Seramai tujuh orang berjaya diselamatkan pada awal pagi Sabtu oleh bot pelancong berhampiran serta pasukan mencari dan menyelamat bersama, katanya.

Operasi mencari diteruskan pada Sabtu dengan penglibatan pihak berkuasa pelabuhan Labuan Bajo dan Tentera Laut Indonesia.

Keadaan cuaca di kawasan berkenaan dilaporkan tidak menentu sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan ahli meteorologi memberi amaran peningkatan risiko terhadap operasi maritim di beberapa bahagian timur Indonesia.

Taman Negara Komodo, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO merupakan antara destinasi pelancongan paling pesat berkembang di Indonesia, terkenal dengan terumbu karang, lokasi menyelam serta komodo, biawak terbesar di dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top