am@hmetro.com.my
Seremban: Suspek utama yang ditahan polis hari ini, disyaki terbabit dengan kejadian letupan peranti letupan buat sendiri (IED) di Desa Palma, 22 Disember lalu mempunyai kesan lecur di muka, badan, tangan dan kaki.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tangkapan terhadap lelaki berusia 62 tahun itu dibuat di kawasan Batang Benar, Nilai, pada 4.15 petang tadi.
“Suspek yang berada dalam keadaan lemah ketika ditahan, kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alzafny berkata, pihak polis turut merampas sebuah motosikal dan beberapa objek disyaki IED di lokasi sama ketika suspek ditangkap.
Justeru katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih atas kerjasama masyarakat yang membantu dalam usaha mengesan suspek sehingga dia berjaya ditangkap.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini dan terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan yang boleh membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menemui objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, selepas menerima laporan daripada orang awam.
Kejadian berlaku pada 7.08 pagi dengan saksi memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu.
Alzafny dilapor berkata, pemeriksaan ke atas rumah sewa suspek utama yang dikenali ‘Ayang’ menemukan peranti dan peralatan berkaitan IED termasuk alat pencetus letupan, bahan pencuci mudah bakar dan karbon, selain unsur belerang.
- IED dalam kereta dipercayai punca letupan di Desa Palma, paku bertaburan
- Penduduk gempar letupan di parkir pangsapuri, polis jumpa banyak paku atas jalan
© New Straits Times Press (M) Bhd




