Mangsa culik kembali ke pangkuan keluarga selepas 21 tahun

Mangsa culik kembali ke pangkuan keluarga selepas 21 tahun

Beijing: Seorang lelaki di China yang diculik ketika berusia empat tahun akhirnya bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya dan memutuskan hubungan dengan keluarga yang membesarkannya.

Memetik laporan South China Morning Post, Peng Congcong yang kini berusia 26 tahun berasal dari wilayah Jiangxi di tenggara China, berkongsi hantaran dalam talian mengenang tahun pertamanya selepas kembali bertemu keluarga kandung.

Katanya, keluarganya berpindah ke Beijing ketika dia berusia empat tahun sebelum dia diculik selepas diperdaya ketika bermain sendirian berhampiran sebuah pasar.

Ibu bapanya yang sedih melaporkan kehilangan itu kepada polis, menampal poster dan melakukan pencarian tanpa henti selama 21 tahun.

Sepanjang tempoh itu, Peng dibesarkan oleh sebuah keluarga di wilayah Jiangsu di timur China dan diberi nama baharu, Zhang Kun.

Beberapa laporan media tanah besar menyifatkan keluarga berkenaan sebagai “pembeli” namun, Peng tidak memberikan maklum balas secara terbuka terhadap dakwaan berkenaan.

Pada Disember tahun lalu, polis memberitahu kepada Peng bahawa dia bukan berasal dari Jiangsu sebaliknya dari Jiangxi dan menyatakan keluarga kandungnya berjaya menjejaki identitinya melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dia kemudian melakukan perjalanan ke Beijing untuk bertemu semula dengan ibu bapa dan dua kakak kandungnya sebelum mereka kembali ke pasar tempat dia tinggal semasa kecil.

Beberapa hari kemudian, mereka pulang ke Jiangxi di mana penduduk kampung menyambut kepulangannya dengan bunga api dan jamuan manakala saudara mara menyediakan sampul merah.

“Inilah rasanya rumah yang sebenar. Dengan penjagaan ibu bapa, kakak di sisi dan restu saudara-mara, saya merasakan perasaan yang murni di dalam lubuk hati,” katanya.

Selepas bertemu semula dengan keluarga kandung, dia berhenti kerja, menukar pendaftaran isi rumah serta menjual rumah dan kereta yang diberikan oleh keluarga angkatnya di Jiangsu.

Kini, Peng menjadi sukarelawan membantu mencari kanak-kanak hilang dan mendermakan hasil jualan barangan di media sosial kepada badan kebajikan Baby Come Home.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top