Shah Alam : Buat julung kalinya Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) menganjurkan acara Pickleball With The Stars bertempat di Pickle X i-City, di sini, semalam.
Uniknya setiap pasangan beregu diwakili pengamal media dan bergandingan dengan selebriti popular tanah air.
Acara yang bertujuan mengeratkan silaturahim berlangsung meriah sekali gus berjaya menghimpunkan lebih 25 selebriti bersama 25 ahli WHAM.
Walaupun berkonsepkan sukan santai, setiap perlawanan berlangsung kompetitif dengan sorakan gemuruh peserta dan penonton.
Gandingan pelakon Ezaidi Aziz bersama wartawan mStar, Nazrin Zulkafli, dinobatkan sebagai juara sekali gus membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 serta medal.
Manakala rakan setugas Nazrin iaitu Farol Hadi yang bergandingan dengan pempengaruh terkenal Faiz Dickie terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan membawa pulang RM3,000 serta medal sekalipun memberi tentangan sengit pada aksi final.
Bagi tempat ketiga dan keempat menjadi milik wartawan Melodi, Faiq Fahmi Adenan yang bergandingan dengan penyanyi terkenal Haqiem Rusli yang mengatasi saingan Muhammad Izzad Farhan Amier Zaini (Melodi) dan Izzul Faiq.
Masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000 serta medal.
Sementara itu, bagi kategori Pairing Paling Sporting dimenangi oleh pelakon Trisha Ooi bersama Penolong Pengarang Berita Hiburan Harian Metro, Wan Asrudi Wan Hasan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 sumbangan Sevoce Studio.
Acara yang menghimpunkan pengamal media daripada pelbagai agensi media, blogger, portal hiburan turut disertai artis terkenal dan pempengaruh antaranya Aeril Zafrel, Bella Astillah, Zahiril Adzim, Sheira Ayob, Yasmin Hani dan Ayie Floor 88.
Turut mengambil bahagian ialah Sarah Suhairi, Zizi Kirana, Adam Lee, Afieq Shazwan, Wani Kayrie dan El Azman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




