Harimau baham lembu bunting, penduduk Hulu Tembeling dalam kebimbangan

Harimau baham lembu bunting, penduduk Hulu Tembeling dalam kebimbangan

am@hmetro.com.my

Jerantut: Lembu betina mati dipercayai dibaham harimau belang di kebun getah di Ulu Sungai Kasah dekat Kampung Bantal Seberang, Hulu Tembeling, di sini, hari ini.

Pemilik lembu, Mohd Iz-Zuddin khalid, 67, berkata kejadian disedari kira-kira 11 pagi ketika dia mahu memberi ternakannya makan di kawasan kebun getah berkenaan.

Katanya, dia menyedari seekor daripada tujuh lembu miliknya tiada dan mula mencari di kawasan sekitar, sebelum menemuinya sudah mati dengan kesan kecederaan dipercayai dibaham harimau.

“Lembu itu dipelihara sejak 2014, amat jinak dan sedang bunting serta dijangka melahirkan anak beberapa hari lagi.

“Sedih sangat, bila saya tengok lembu itu luka dibaham di tengkuk, pinggul dan penuh kesan cakaran harimau.

“Itu lembu kedua saya yang menjadi mangsa harimau setelah seekor lembu jantan berusia dua tahun diserang haiwan buas itu akhir Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Iz-Zuddin berkata, dia menternak lembu di kebun getah seluas kira-kira 10 hektar dan kematian dua ternakan itu menyebabkan kerugian lebih RM6,500.

Katanya, sejak penduduk mengesan kehadiran harimau, hampir 30 penoreh takut ke kebun getah yang terletak berhampiran lokasi penemuan binatang buas itu.

“Kes lembu diserang ini sudah dimaklumkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil mereka sudah datang ke lokasi hari ini, memasang kamera dan jerat untuk menangkap harimau itu sementara, bangkai lembu dibiarkan di situ sebagai umpan.

“Kita juga melaporkan kejadian ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada 22 November lalu, tular di media sosial video seekor harimau berkeliaran di jalan menghala Kampung Membatu, di sini dan penemuan kedua harimau oleh penduduk pada 8 Disember lalu di lokasi sama.

Kemunculan haiwan itu membimbangkan lebih 300 penduduk di perkampungan sekitar Hulu Tembeling, antaranya penduduk Kampung Membatu, Kampung Seberang Bantal, Kampung Terus, Kampung Machang Perah, Kampung Semena dan Kampung Mat Daling.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top