'Live location' terhenti jadi petunjuk Ammar Azwa kemalangan

'Live location' terhenti jadi petunjuk Ammar Azwa kemalangan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Penjejak lokasi masa sebenar (live location) dikongsikan terhenti, membuatkan hati ibu kepada Ammar Azwa Asri, gelisah dan meminta adiknya yang bekerja sebagai polis bantuan untuk menjejak anaknya itu.

Telahan wanita yang tinggal di Batu Pahat itu nyata berasas selepas Ammar Azwa, 21, gagal dihubungi dan GPS terakhir di Kilometer 45.6, Lebuhraya Senai-Desaru di sini, menyaksikan berlakunya nahas tiga kereta yang meragut dua nyawa termasuk Ammar Azwa.

Menurut bapa saudara Ammar Azwa, Suhaimi Abu Naim, 58, Allahyarham ada memaklumkan kepada ibunya seolah-olah berat hati untuk pulang ke kampung, meskipun akan berlangsung majlis pertunangan sepupunya dan doa selamat naik rumah serta majlis perkahwinan seorang lagi saudara mereka.

“Difahamkan mengikut cerita mak dia, malam tadi arwah berat hati nak balik, dia cakap bagi dia rehat dahulu, barulah dia gerak… katanya dalam jam 4 pagi lebih dia gerak.

“Kira-kira jam 5 mak dia cakap ‘live location’ arwah terhenti. Dia cuba telefon tak dapat, (yang) mulanya dia fikir mungkin bateri habis.

“Tapi sebab tak sedap hati, dia minta adik dia (yang tinggal di kawasan berhampiran) untuk pergi ke lokasi arwah dan tengok memang betul, Ammar Azwa terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi itu, selain Ammar Azwa, pemandu Proton Wira yang berusia 19 tahun turut maut di lokasi.

Menceritakan peribadi Ammar Azwa, Suhaimi berkata, anak saudaranya itu seorang yang ceria dan disenangi semua orang.

“Kalau di rumah atau di kampung, memang dia yang buat orang ketawa. Kehilangan dia dalam keadaan terkejut, memang kita semua seolah-olah macam tak boleh nak terima kenyataan lagi,” katanya.

Difahamkan kali terakhir Ammar Azwa yang baharu dua bulan bekerja sebagai juruteknik di Projek RAPID Pengerang, Kota Tinggi pulang ke Batu Pahat untuk bersama keluarga adalah pada minggu lalu.

Kereta yang dipandunya sendirian itu juga difahamkan hadiah daripada ibu bapanya.

Terdahulu, jenazah Ammar Azwa dibawa pulang ke Batu Pahat pada 4.20 petang selepas selesai bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Siba, Bagan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi berkata, pemandu Proton Wira yang maut didapati tiada lesen memandu dan seorang penumpang di dalam kereta berkenaan masih belum dikenal pasti dan masih dirawat di HSI.

“Terdapat seorang remaja perempuan 15 tahun dan remaja lelaki 17 tahun juga sebagai penumpang Proton Wira turut cedera dan dirawat di HSI,” katanya.

Katanya, pemandu dan penumpang Perodua Myvi yang turut terbabit dalam kemalangan itu juga dipercayai rakan sekerja Ammar Azwa di Projek RAPID Pengerang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top