'Kami hendak santuni keluarga, rakan-rakan', Erra jawab persoalan tiga acara resepsi

'Kami hendak santuni keluarga, rakan-rakan', Erra jawab persoalan tiga acara resepsi

Kuala Lumpur: Primadona filem Melayu, Erra Fazira, 51, menjelaskan tiga majlis rai perkahwinan dengan suami, Ezwan Zain, 44, iaitu acara nikah dan dua majlis resepsi diatur bagi menyantuni keluarga dan rakan-rakan.

Pasangan itu yang bernikah di Kampung Melayu Subang, Shah Alam pada 12 Disember lalu, bakal diraikan sekali lagi di sebuah hotel terkemuka di sini, bertemakan ‘black tie’, malam ini.

Majlis resepsi Erra dan Ezwan boleh disaksikan secara langsung menerusi saluran YouTube, Kasionz mulai jam 7.30 malam ini.

“Saya tahu ramai yang tanya kenapa sampai tiga majlis resepsi, sedangkan ini bukan perkahwinan pertama. Sebenarnya, kami hendak santuni keluarga dan rakan-rakan.

“Memang sebelum ini saya pernah cakap hendak majlis ringkas, iaitu nikah diikuti acara makan-makan, tetapi suami mahu meraikan keluarga, teman-teman dan rakan perniagaannya.

“Tetapi, ketiga-tiga majlis kami bukanlah berskala besar. Hanya majlis kecil-kecilan. Apa yang penting semua orang dapat merasa,” katanya menerusi audio siar Kasionz.

Pada majlis resepsi malam ini, Erra sekali lagi meletakkan kepercayaan kepada suaminya untuk menguruskan majlis.

Sementara itu, Ezwan berkata, dia sekali lagi akan membawa kejutan kepada isterinya pada malam ini.

“Saya adakan tiga majlis bukanlah sebab nak memenuhi apa-apa hajat. Sebaliknya, ini adalah keperluan untuk menyantuni saudara-mara, rakan taulan, rakan perniagaan dan media.

“Pada majlis pernikahan kami pilih konsep dalam taman, resepsi pertama konsep tradisional dan kali ini Erra pilih ‘black tie’,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top