nurul_husna@mediaprima.com.my
Mahu mengasuh komuniti desa yang lebih agro dinamik dan terdedah kepada pertanian moden antara pencetus kepada projek Sejati Madani Kampung Loh Karai, Perak.
Menerusi inisiatif itu, Ketua Kampung Loh Karai Wan Azmi Wan Salleh berkata, kampungnya memilih untuk menjalankan pertanian hidroponik dengan bantuan dana RM100,000.
“Idea projek ini bermula apabila Masjid Kampung Loh terlebih dahulu mengusahakan projek hidroponik.
“Namun, saiz tapak tanaman projek itu lebih kecil, tetapi masih boleh memberi manfaat kepada kariah dan pendapatan tabungan masjid.
“Melihat kepada kejayaan pihak masjid dan kebetulan mengenali peraih sayur, saya menyedari permintaan tinggi terhadap sayur ditanam menggunakan kaedah itu,” katanya.
Apabila kerajaan mengumumkan dana untuk projek Sejati Madani bertujuan memperkasakan komuniti desa bagi menjalankan projek demi menjana pendapatan, Wan Azmi melihat kaedah tanaman hidroponik sesuai diusahakan di kampungnya.
“Sebenarnya, kami sudah mulakan projek ini sejak November 2024 dan melakukan belasan tuaian membabitkan pelbagai jenis sayuran.
“Kami fokus menanam sayuran seperti salad, sawi, daun sup dan kailan. Kebanyakannya sayuran berdaun kerana ia mudah dijaga selain tempoh penanaman yang singkat.
“Contoh, sawi hanya memerlukan sekitar tiga minggu, bayam antara empat ke lima minggu manakala daun sup atau salad pula dua bulan,” katanya.
Tambah Wan Azmi, hasil daripada projek itu sebahagiannya dipasarkan kepada penjual sayur tempatan dan ada juga dijual kepada komuniti.
“Memang orang kampung yang terima manfaat apabila sayur yang dituai dijual kepada orang kampung sendiri selain peniaga kecil.
“Saya juga menjual sayur ini kepada pembekal tempatan untuk jana pulangan modal lebih stabil.
“Masih ada keperluan untuk membeli benih selain baja bagi memastikan penanaman sayur dapat diteruskan untuk musim seterusnya,” katanya.
Ketika ini, kata Wan Azmi, rumah hijau projek Sejati Madani Kampung Loh Karai mampu menampung kapasiti 1,800 pasu tanaman.
Kebiasaannya, penanaman dilakukan secara berperingkat bagi memastikan pengeluaran hasil pertanian berterusan daripada rumah hijau itu.
“Sistem rumah hijau ini juga mengambil elemen lestari apabila menggunakan tenaga solar bagi menggantikan tenaga elektrik untuk menghidupkan sistem air dan baja.
“Memang hidroponik ini mudah kerana tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai, tetapi boleh menghasilkan produk yang pelbagai.
“Sistem hidroponik dalam rumah hijau ini juga memudahkan kawalan terhadap serangan penyakit dan serangga perosak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




