Trump, Netanyahu bincang fasa kedua pelan damai Gaza esok

Trump, Netanyahu bincang fasa kedua pelan damai Gaza esok

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijadual bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Florida, AS esok bagi membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza.

Pertemuan itu menjadikan lawatan kelima Netanyahu ke AS untuk bertemu sekutu utamanya, Trump, tahun ini yang dilihat mustahak bagi menentukan langkah seterusnya pelan gencatan senjata Israel-Palestin yang rapuh.

Seorang pegawai Israel memaklumkan Netanyahu akan berlepas ke AS hari ini dan bertemu Trump sehari kemudian di Florida tanpa memberikan lokasi khusus.

Pada pertengahan bulan ini, Trump pernah memberitahu wartawan bahawa Netanyahu mungkin akan melawatnya di Florida semasa cuti perayaan Krismas.

“Beliau mahu bertemu saya. Kami belum menetapkannya secara rasmi, tetapi beliau mahu berjumpa saya,” kata Trump sebelum berlepas ke pusat peranginannya, Mar-a-Lago.

Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan pada Rabu lalu, pelbagai isu serantau dijangka dibincangkan termasuk terkait Iran, rundingan mengenai perjanjian keselamatan Israel–Syria, gencatan senjata dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan serta peringkat perjanjian Gaza yang seterusnya.

Kemajuan untuk beralih ke fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza yang dicapai pada Oktober lalu, yang diusahakan Washington bersama sekutu serantau, setakat ini bergerak perlahan.

Ini kerana kedua-dua pihak saling menuduh kerap berlaku pelanggaran gencatan senjata, manakala dalam kalangan pengantara pula bimbang Israel dan Hamas masing-masing melengahkan proses itu.

Pada peringkat seterusnya, Israel sepatutnya berundur dari kedudukannya di Gaza, manakala sebuah pihak berkuasa sementara akan mentadbir wilayah Palestin itu menggantikan Hamas dan satu pasukan penstabilan antarabangsa (ISF) akan dikerahkan.

Perjanjian itu juga merangkumi peruntukan supaya Hamas meletakkan senjata lantas menjadikannya ia satu pertikaian utama.

Semalam, portal berita AS, Axios, melaporkan pertemuan antara Trump dan Netanyahu adalah penting untuk memajukan langkah seterusnya perjanjian itu.

Memetik pegawai Rumah Putih, Axios berkata pentadbiran Trump mahu mengumumkan pembentukan kerajaan teknokrat Palestin bagi Gaza serta penubuhan ISF secepat mungkin.

Laporan itu turut menyatakan pegawai kanan Trump semakin kecewa kerana Netanyahu mengambil langkah menjejaskan gencatan senjata yang sudah pun rapuh dan melengahkan proses keamanan.

Walaupun pentadbiran Trump berminat melihat kemajuan di Gaza, penganalisis tidak menolak kemungkinan Iran membina semula program nuklear dan keupayaan peluru berpandu balistiknya, menjadi agenda utama Netanyahu semasa pertemuan nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top