am@hmetro.com.my
Tangkak: Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor, di sini merekodkan bacaan paras air melepasi tahap bahaya, pagi ini.
Berdasarkan laman sesawang Public Info Banjir kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) setakat jam 1.30 tengah hari tadi, Sungai Tangkak mencatatkan bacaan paras air 4.17 meter (m) melepasi tahap bahaya empat meter.
Paras air di sungai terbabit masih tidak menunjukkan perubahan meskipun tiada hujan berlaku pada ketika ini.
Selain itu, dua sungai iaitu Sungai Kesang di Telok Rimba dan Sungai Muar di Kampung Awat masing-masing di Tangkak dan Segamat sudah melebihi paras amaran.
Sungai Kesang merekodkan bacaan paras air 3.29m melebihi tahap amaran tiga meter manakala Sungai Muar, 19.71m melebihi 19.35m.
Sehingga jam 2 petang, trend di kedua-dua sungai ini menaik dengan taburan hujan sebanyak satu milimeter (tahap renyai).
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Segamat memaklumkan Jalan Jabi Bukit Tempurung ditutup kepada semua kenderaan susulan banjir berlaku di laluan terbabit.
Penutupan jalan bermula pada jam 10 pagi tadi selepas air mula dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.
© New Straits Times Press (M) Bhd




