ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persaingan beregu lelaki dunia kini berada pada tahap paling seimbang, sekali gus menjanjikan laluan lebih mencabar buat pemain negara menjelang musim baharu 2026.
Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, mengakui peningkatan mendadak beberapa negara yang sebelum ini kurang menonjol sudah mengubah sepenuhnya landskap badminton antarabangsa.
Menurut Aaron, negara seperti Perancis, England, India dan Taiwan kini bukan lagi sekadar pelengkap, sebaliknya muncul sebagai pencabar serius di pentas tertinggi dunia.
“Beregu lelaki sentiasa mencabar kerana sentiasa ada pemain berkualiti, tidak kira dari negara mana.
“Jika dilihat lima kategori, beregu lelaki, beregu wanita, beregu campuran, perseorangan lelaki dan perseorangan wanita, bagi saya beregu lelaki kini paling kompetitif kerana tahapnya semakin seimbang.
“Jangan bandingkan dengan dahulu kerana ketika itu ada negara yang belum begitu kuat. Maksud saya, negara yang sebelum ini kurang menonjol kini sudah meningkat, dan dalam masa sama negara yang kuat juga terus berkembang.
“Mungkin tahap peningkatan mereka lebih cepat. Kita juga sedang meningkat, tetapi mereka ada kelebihan tertentu yang membolehkan mereka melonjak lebih pantas untuk mengejar. Sebab itu, ketika ini persaingan beregu lelaki dilihat sangat seimbang,” katanya.
Perkembangan itu dijangka menjadikan saingan beregu lelaki lebih sengit, sekali gus menuntut tahap konsistensi tinggi serta persiapan rapi daripada wakil negara untuk terus kekal kompetitif di peringkat tertinggi dunia.
Selepas berakhir saingan musim ini, Aaron dan pasangannya, Soh Wooi Yik menutup kalendar 2025 dengan menghuni ranking kedua dunia.
Mereka dijadualkan membuka tirai 2026 di Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1000 di Axiata Arena dari 7 hingga 12 Januari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




