am@hmetro.com.my
Segamat: Enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini bagi menempatkan 103 mangsa daripada 32 keluarga, susulan banjir mula melanda, malam ini.
PPS itu ialah Balai Raya Kampung Batu Badak, Dewan Serbaguna Kampung Tasek, Balai Raya Kampung Jabi, Balai Raya Kampung Paya Lebar, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas dan Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil.
Ia mula dibuka pada 8 malam, susulan limpahan air sungai utama selepas hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan 40 mangsa (12 keluarga) manakala Dewan Serbaguna Kampung Tasek, (dua keluarga) dan Balai Raya Kampung Jabi mempunyai lima mangsa (satu keluarga).
“PPS Balai Raya Kampung Paya Lebar pula menempatkan 16 mangsa daripada enam keluarga, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (10 mangsa, empat keluarga) dan Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil (30 mangsa, tujuh keluarga).
“Dua sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dengan bacaan 20 meter (m) dan Sungai Kesang di Kampung Seri Maamor, Tangkak, 4.11m,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, laman sesawang Public Info Banjir kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) sehingga jam 9.45 malam tadi merekodkan tiga sungai melepas paras amaran.
Sungai terbabit ialah Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat mencatat 6.53, melebihi tahap amaran 6.5 manakala Sungai Segamat Kecil, Segamat merekodkan 37.25m melebihi 36.7m.
Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak pula berada pada paras 3.39m melebihi tahap amaran tiga meter.
© New Straits Times Press (M) Bhd



