Penalti Mahrez bawa Algeria ke pusingan kedua

Penalti Mahrez bawa Algeria ke pusingan kedua

Rabat: Algeria mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika selepas Riyad Mahrez menyempurnakan sepakan penalti untuk meraih kemenangan 1-0 ke atas Burkina Faso, awal pagi tadi.

Kapten, Mahrez menyempurnakan sepakan penalti pada pertengahan babak pertama di Stadium Moulay El Hassan, Rabat, dan Algeria kemudian berjaya mengekalkan kemenangan dalam perlawanan sengit itu.

Selaku juara Afrika pada 1990 dan 2019, Algeria kini mengumpul enam mata maksimum selepas dua perlawanan dalam Kumpulan E dan belum bolos sebarang gol, menepati jangkaan mereka sebagai salah satu pasukan pilihan.

Burkina Faso dan Sudan masing-masing mengutip tiga mata dan akan berdepan dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Khamis ini.

Selepas menewaskan kedua-duanya, Algeria sudah pasti menamatkan saingan sebagai juara kumpulan walaupun tewas aksi terakhir menentang Equatorial Guinea yang masih tanpa mata, sekali gus akan beraksi dalam perlawanan pusingan 16 terakhir di Rabat pada 6 Januari.

“Kami memang menjangkakan perlawanan yang amat sukar. Kami bertarung habis-habisan dan perkara paling penting adalah kami menang. Sekarang kami sudah layak dan itulah sasaran utama.

“Kami tahu mereka pasukan yang amat fizikal, jadi kami perlu bertarung, bermain dan membuat terjahan agresif dan kami melakukannya dengan baik hari ini,” tegasnya,” kata penyerang Bayer Leverkusen, Ibrahim Maza, yang dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan.

Pada edisi terakhir di Ivory Coast, Algeria terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dengan Burkina Faso, keputusan yang menyumbang kepada penyingkiran mereka di peringkat kumpulan.

Namun kali ini Algeria meraih tiga mata selepas penalti diberikan apabila Rayan Ait-Nouri dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Mahrez tidak melakukan sebarang kesilapan dengan sepakan pada minit ke-23 itu, meneruskan sentuhan tajamnya selepas meledak dua gol ketika membelasah Sudan 3-0, menjadikan jumlah jaringannya pada kejohanan kali ini kepada tiga gol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top