am@hmetro.com.my
Pengerang : Seorang suri rumah didenda RM35,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan mencuri wang milik ibunya bernilai keseluruhan RM130,000, empat bulan lalu.
Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu selepas Norhasikin Abu Bakar, 31, mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mencuri RM100,000 menggunakan aplikasi THiJARI milik ibunya yang berusia 67 tahun dengan niat mencuri wang itu bagi tujuan peribadi di Felda Gugusan Adela di sini, kira-kira jam 10 pagi, 21 Ogos lalu.
Manakala, pertuduhan kedua, wanita itu didakwa mencuri RM30,000 menggunakan kad ATM Bank Islam juga milik ibunya dengan niat yang sama di Bank Islam cawangan Bandar Penawar di sini, pada waktu dan hari yang sama.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman yang ringan kerana tidak mempunyai pendapatan, manakala suaminya yang bekerja juga tidak mempunyai pendapatan tetap.
Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri bagaimanapun memohon hukuman setimpal memandangkan kerugian RM130,000 itu dialami oleh ibu kandung tertuduh sendiri yang mana wang berkenaan belum diperoleh semula warga emas berkenaan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan pertama dan RM15,000 bagi pertuduhan kedua serta dua tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Menurut fakta kes, pengadu iaitu ibu tertuduh mendapati anaknya telah menggunakan aplikasi THiJARI miliknya tanpa kebenaran dan pengetahuannya dengan memindahkan wang dari akaun Tabung Haji sehingga berjumlah RM100,000 bagi tujuan peribadi.
Pada hari yang sama, pengadu mendapati tertuduh menggunakan kad ATM Bank Islam miliknya tanpa kebenaran dan tanpa pengetahuan pengadu untuk melakukan tiga kali transaksi pengeluaran wang sehingga berjumlah RM30,000 bagi tujuan peribadi tertuduh.
Polis yang kemudian menerima laporan dibuat pengadu telah membuat tangkapan ke atas tertuduh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, kira-kira jam 4.30 petang, 26 Oktober lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




