Darra Dalia, dari terapi lukisan ke Malaysia Book of Records

Darra Dalia, dari terapi lukisan ke Malaysia Book of Records

PETALING JAYA: Berdepan kekangan komunikasi akibat autisme bukanlah penghalang buat artis cilik, Darra Dalia untuk menzahirkan suara hatinya menerusi lukisan.

Ibunya, Nolin Teh berkata, Darra atau Darra Dalia Mohd Nor Azim, 11, mula aktif melukis secara serius sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Ujarnya, seni menjadi medium terapi dan ekspresi diri buat anaknya yang didiagnosis autisme seawal usia tiga tahun.

“Darra seorang yang pemalu dan kurang bersosial, namun dia meluahkan pemikiran dan perasaannya melalui lukisan, terutamanya subjek kucing kesayangannya.

“Kini, karyanya semakin matang dan berkembang kepada komposisi floral. Dia juga mampu melukis terus di atas kanvas tanpa perlu lakaran awal,” katanya.

Tambah Nolin, bakat besar dimiliki Darra terus diasah di bawah bimbingan Jaja Yusof iaitu anak kepada pelukis tersohor negara, Allahyarham Yusof Gajah.

Darra Dalia, dari terapi lukisan ke Malaysia Book of Records

Lebih membanggakan, nama Darra turut tercatat dalam Malaysia Book of Records menerusi penyertaan Largest Mini Artwork Exhibition anjuran FPC Foundation, tahun ini.

Menurut Nolin, dia mahu bakat anaknya itu diiktiraf atas kualiti karya dan kemahiran yang dimiliki, bukannya sekadar atas dasar ihsan terhadap golongan neurodivergent.

“Saya mahu dia mempunyai kemahiran sendiri. Syukurlah, setiap kali pameran, karya Darra antara yang terawal habis terjual,” jelasnya.

Selain dipamerkan di galeri, hasil seni Darra turut diarkibkan di laman Instagram @senidarra yang kini menjadi platform promosi dan jualan utama.

Dalam pada itu, usaha memperkasakan jenama seni Darra turut mendapat sokongan sekumpulan mahasiswa Sarjana Program Pengurusan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keupayaan artis neurodivergent, selain membantu penjenamaan semula media sosial Darra agar lebih menarik dan sistematik. -UTUSAN

Scroll to Top