Mali mara, Comoros tersingkir

Mali mara, Comoros tersingkir

Casablanca: Mali dan Comoros terikat tanpa jaringan 0-0 dalam aksi Kumpulan A Piala Negara-Negara Afrika (Afcon), keputusan yang menyaksikan Mali melangkah ke pusingan 16 terbaik manakala Comoros tersingkir daripada kejohanan.

Mali menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan A dengan tiga mata selepas mencatat tiga keputusan seri, ketinggalan di belakang juara kumpulan, Maghribi yang mengumpul tujuh mata.

Comoros pula berada di tempat ketiga dengan dua mata, namun perbezaan jaringan menyaksikan mereka gagal disenaraikan antara empat pasukan tempat ketiga terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati.

Mali akan berdepan naib juara Kumpulan C pada pusingan seterusnya, dengan lawan dijangka Tunisia, yang akan ditentukan selepas tamat perlawanan kumpulan itu esok.

Bagaimanapun, Mali tidak dapat menurunkan Amadou Haidara pada aksi berkenaan selepas pemain tengah itu dilayangkan kad merah lewat perlawanan susulan terjahan berbahaya ke atas pemain Comoros.

Perlawanan berlangsung hambar dengan hanya tiga percubaan tepat ke sasaran sepanjang 90 minit, namun keputusan seri sudah memadai buat Mali untuk mengesahkan kemaraan.

Peluang terbaik separuh masa pertama hadir menerusi Yves Bissouma, namun percubaannya yang menuju gawang berjaya diselamatkan penjaga gol Comoros, Yannick Pandor.

Comoros meningkatkan tekanan pada babak kedua apabila terpaksa memburu kemenangan, dengan El Fardou Ben hampir meledak jaringan tetapi rembatannya ke penjuru atas ditepis cemerlang oleh penjaga gol Mali, Djigui Diarra.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top