Agadir: Ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan, berkata penganjuran Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) setiap dua tahun lebih baik berbanding empat tahun kerana ia akan memberi manfaat kepada liga-liga Eropah, sambil menegaskan pasukannya bersedia berdepan mana-mana lawan pada pusingan 16 terbaik di Maghribi.
Mesir mengekalkan rekod tanpa kalah selepas terikat 0-0 dengan Angola di sini untuk muncul juara Kumpulan B dengan tujuh mata, mengatasi Afrika Selatan yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan enam mata selepas menang 3-2 ke atas Zimbabwe.
“Pada pandangan saya, adalah lebih baik Afcon diadakan setiap dua tahun berbanding empat tahun,” kata Hassan dalam kenyataan yang disiarkan Persatuan Bola Sepak Mesir menerusi laman Facebook rasminya.
“Ini akan memberi manfaat kepada kepentingan liga-liga Eropah,” katanya.
Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) minggu lalu mengumumkan kejohanan itu akan dianjurkan setiap empat tahun pada masa depan, sekali gus menamatkan tradisi penganjuran dwitahunan sejak 1957 dan mencetuskan kritikan beberapa jurulatih.
Sebagai juara kumpulan, Mesir akan kekal di Agadir untuk aksi pusingan 16 terbaik pada Selasa depan.
“Kami bersedia berdepan mana-mana pasukan pada pusingan 16 terbaik. Peringkat seterusnya pasti sukar dan saingan sangat kompetitif. Kami akan perbaiki kelemahan dan tingkatkan perkara positif,” kata Hassan.
Beliau turut berpuas hati dengan prestasi pemain yang membuat penampilan sulung di Afcon.
“Tujuan perlawanan menentang Angola adalah untuk menguji lebih ramai pemain,” katanya.
Mesir membuat 11 pertukaran berbanding kesebelasan utama ketika menewaskan Afrika Selatan 1-0 pada Sabtu lalu, termasuk merehatkan Mohamed Salah dan Omar Marmoush.
“Keputusan merehatkan lebih daripada seorang pemain dibuat kerana jarak masa yang singkat antara perlawanan menentang Afrika Selatan dan Angola,” kata Hassan, yang memenangi Afcon tiga kali sebagai pemain pada 1986, 1998 dan 2006.
© New Straits Times Press (M) Bhd



