TANPA pengumuman rasmi atau pemberhentian besar-besaran, amalan pengurangan tenaga kerja secara senyap atau ‘quiet layoffs’ semakin ketara dalam pasaran buruh masa kini.
Ia lazimnya dizahirkan melalui langkah seperti pembekuan pengambilan pekerja, tidak menggantikan staf yang berhenti, penyusunan semula peranan, penstrukturan dalaman serta kontrak pekerja yang tidak disambung.
Kewujudan trend ini lebih sesuai dilihat sebagai fenomena yang berlaku secara terpilih mengikut sektor dan organisasi tertentu dipengaruhi oleh faktor seperti penyesuaian kos operasi, perubahan permintaan pasaran serta penstrukturan strategi perniagaan.
Bagaimanapun indikator rasmi menunjukkan pasaran buruh Malaysia masih relatif stabil. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kadar pengangguran 3.0 peratus pada Oktober 2025 dengan 518,900 penganggur.
Justeru, pengurangan tenaga kerja secara senyap tidak semestinya mencerminkan kegawatan menyeluruh namun perkembangan ini wajar diperhatikan kerana ia memberi petunjuk awal terhadap perubahan dinamik pekerjaan dan strategi pengurusan tenaga kerja dalam persekitaran ekonomi semasa.
Berkongsi pandangan, Ahli Ekonomi Utama, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE, Muhamad Zharif Luqman berkata, umumnya sektor yang lebih terdedah kepada amalan pengurangan tenaga kerja secara senyap ialah sektor yang berdepan ketidaktentuan permintaan, tekanan kos dan perubahan teknologi yang pantas.
“Dalam sektor pembuatan serta aktiviti berorientasikan eksport, apabila permintaan global tidak menentu, syarikat lazimnya akan menahan pengambilan baharu dan mengoptimumkan tenaga kerja sedia ada.
“Ini turut selari dengan petunjuk sentimen seperti Purchasing Managers’ Indeks (PMI) pembuatan Malaysia yang masih berada di bawah paras neutral 50, walaupun menunjukkan tanda menghampiri kestabilan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Muhamad Zharif, teknologi dan platform digital juga terdedah kerana penstrukturan semula lebih cepat berlaku apabila syarikat meningkatkan automasi.
“Sebagai contoh, ByteDance/TikTok dilaporkan mengurangkan ratusan pekerjaan di Malaysia dalam peralihan kepada moderasi kandungan yang lebih bergantung pada AI.
“Bagi sektor tenaga, minyak dan gas, risiko meningkat apabila syarikat besar melaksanakan rightsizing dan langkah penjimatan kos.
“Petronas misalnya, dilaporkan mengurangkan tenaga kerja serta membekukan pengambilan sehingga Disember 2026 sebagai sebahagian penstrukturan,” katanya.
Penjimatan kos jangka panjang
Jelas beliau, trend kontrak tidak disambung dan ‘hiring freeze’ boleh disifatkan sebagai gabungan kelembapan ekonomi dan strategi penjimatan kos jangka panjang syarikat.
“Dari sudut makro, ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi yang masih berkembang, DOSM menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025 meningkat 5.2 peratus.
“Namun, pada peringkat syarikat, langkah seperti ‘hiring freeze’ dan tidak menyambung kontrak sering menjadi strategi pengurusan kos dan risiko termasuk persediaan menghadapi ketidaktentuan luaran.
“Selain itu, Bank Negara Malaysia juga pernah menurunkan unjuran pertumbuhan 2025 kepada 4.0 peratus – 4.8 peratus dengan mengambil kira risiko global dan senario perdagangan,” katanya.
Walaupun amalan pengurangan tenaga kerja secara senyap ini sifatnya tidak ketara namun tetap mempunyai implikasi tersendiri misalnya kepada pekerja muda yang terperangkap dalam kitaran kontrak tanpa jaminan kerjaya.
Menurut Muhamad Zharif, implikasinya adalah ketidakstabilan pendapatan, perancangan hidup yang sukar dan perkembangan kerjaya yang lebih perlahan kerana pekerja muda kurang mendapat pelaburan latihan serta laluan kerjaya yang jelas.
“Dalam konteks lebih luas, ia boleh menguatkan isu ketidakpadanan dan pekerjaan di bawah kelayakan.
“Sebagai contoh, DOSM melaporkan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan pekerja berpendidikan diploma dan keatas masih tinggi iaitu 35.7 peratus pada 1Q 2025,” katanya.
Pada masa sama, jika trend tersebut berterusan ia mungkin mewujudkan risiko ke arah pasaran kerja yang tidak stabil khususnya jika kontrak jangka pendek menjadi amalan dominan tanpa laluan peralihan yang munasabah ke pekerjaan lebih stabil.
“Namun, setakat indikator agregat, pasaran buruh masih menunjukkan daya tahan dengan kadar pengangguran kekal rendah (3.0 peratus pada Oktober 2025) dan DOSM juga merekodkan peningkatan bilangan pekerjaan pada awal 2025.
“Maksudnya, kebimbangan itu perlu diambil serius tetapi ia masih boleh dibendung melalui dasar dan amalan pasaran kerja yang lebih seimbang,” katanya.
Lanjut beliau, bagi memastikan transformasi ekonomi bergerak seiring dengan kesejahteraan tenaga kerja, kerajaan perlu memperkukuh perlindungan peralihan kerja dan penempatan semula melalui instrumen sedia ada seperti Sistem Insurans Pekerjaan (SIP/EIS) PERKESO yang menyediakan bantuan kewangan sementara serta sokongan untuk kembali bekerja.
Di samping itu, kerajaan perlu memperjelas dan menguatkuasakan garis panduan amalan kontrak jangka pendek agar tidak disalah guna bagi peranan yang hakikatnya bersifat tetap.
Pada masa sama, majikan wajar mengamalkan penstrukturan semula yang bertanggungjawab melalui komunikasi yang telus, pelan penempatan semula pekerjaan dan latihan semula serta menyediakan laluan yang munasabah daripada kontrak kepada peranan yang lebih stabil bagi kerja jangka panjang.
“Automasi perlu dilaksanakan sebagai strategi peningkatan produktiviti yang disertai pelan pembangunan tenaga kerja, bukan semata-mata langkah pemotongan kos.
“Pekerja pula disaran meningkatkan kemahiran yang mudah dipindah (digital, data, pengurusan projek dan komunikasi) serta proaktif memanfaatkan saluran padanan kerja dan latihan semula dalam ekosistem rasmi untuk mempercepat mobiliti kerjaya dan mengurangkan risiko ketidakstabilan pekerjaan,” katanya.


