Tokyo: Jepun mencatatkan jumlah tangkapan beruang tertinggi dalam sejarah antara April hingga Oktober 2025, didorong oleh peningkatan ketara kemunculan haiwan itu di kawasan kediaman, lapor Xinhua memetik Kementerian Alam Sekitar negara itu.
Sebanyak 9,867 ekor beruang ditangkap di 31 wilayah sepanjang tempoh berkenaan, iaitu jumlah tertinggi sejak statistik mula direkodkan pada tahun fiskal 2006, menurut kajian terbaharu kementerian itu.
Enam wilayah di rantau Tohoku di timur laut Jepun menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah keseluruhan, dengan Wilayah Akita mencatatkan angka tertinggi sebanyak 1,973 tangkapan, diikuti Aomori dan Fukushima masing-masing sekitar 1,150 ekor.
Kementerian berkenaan menyatakan peningkatan ketara itu berpunca daripada kekerapan beruang muncul di kawasan kediaman, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk.
Pada masa sama, jumlah pemburu yang berkeupayaan menangkap beruang dilaporkan merosot dengan ketara. Kementerian memaklumkan bilangan individu berlesen untuk menggunakan senjata api seperti raifal dan senapang patah menurun lebih 70 peratus, daripada 297,000 orang pada tahun fiskal 1985 kepada 84,400 orang pada tahun fiskal 2021.
Bagi menangani kekurangan itu, kerajaan pusat merancang untuk menyalurkan subsidi kos buruh kepada pihak berkuasa tempatan yang menggaji pemburu berlesen sebagai kakitangan kerajaan, lapor penyiar awam NHK.
Pihak berkuasa juga menyasarkan untuk meningkatkan usaha penangkapan selepas beruang keluar daripada hibernasi pada musim bunga serta melaksanakan langkah berasaskan zon bagi memisahkan kawasan penempatan manusia daripada habitat beruang, menurut laporan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




