harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Langkawi yang baharu dijangka beroperasi secara rasmi bermula 15 Januari depan.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong berkata, pembukaan pejabat baharu itu bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan SPRM Langkawi melalui penyediaan prasarana yang lebih moden dan selesa bagi urusan masyarakat setempat.
Menurutnya, ia juga memperkukuhkan imej SPRM selain meningkatkan kesiapsiagaan operasi warga kerja dalam menjalankan tugas pencegahan rasuah dengan sokongan sistem keselamatan serta logistik yang lebih mantap.
“Meskipun SPRM sedang dalam tempoh peralihan pejabat, saya memberi jaminan bahawa saluran aduan awam akan tetap beroperasi sepenuhnya demi memastikan fungsi pencegahan rasuah tidak terganggu.
“Matlamat utama kami adalah untuk memberikan perkhidmatan yang lebih profesional, telus dan selesa kepada semua pihak yang berurusan dengan jabatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja dua hari bagi meninjau bangunan pejabat baharu serta melawat pejabat sedia ada yang ketika ini beroperasi di Bangunan LADA, di Langkawi, semalam.
Katanya, lawatan itu bertujuan memastikan segala persiapan logistik dan prasarana bangunan baharu berjalan lancar sebelum proses pertukaran pejabat bermula sepenuhnya pada Januari depan.
Menurutnya, pemeriksaan rapi terhadap kemudahan pejabat dan ruang kerja bagi memastikan ia memenuhi standard yang ditetapkan bagi tujuan penguatkuasaan dijalankan.
“Urusan perpindahan aset dan kelengkapan pejabat dijadualkan bermula pada minggu ketiga Januari, di mana pejabat baharu ini akan mula menggunakan alamat rasmi sepenuhnya pada 15 Januari.
“Sehubungan dengan itu, operasi di pejabat lama yang terletak di Bangunan LADA akan ditamatkan secara rasmi pada 31 Januari 2026,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




