suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mencatatkan lebih 90,000 tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang tahun 2025, hasil pengukuhan penguatkuasaan dan pemerkasaan operasi di seluruh negara.
JIM dalam kenyataan memaklumkan, pencapaian itu antara kejayaan utama JIM bagi tahun berkenaan yang turut menyaksikan peningkatan tadbir urus, penambahbaikan perkhidmatan serta pemerkasaan sistem imigresen.
“Selain itu, JIM merekodkan kutipan hasil melebihi RM5.1 bilion dan berjaya menyelesaikan 19,205 permohonan permit masuk sepanjang tahun ini.
“Di samping itu, pasport Malaysia menduduki tangga ke-3 dunia berdasarkan Ranking Pasport Index,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan JIM, pencapaian berkenaan menjadi asas kukuh untuk terus melangkah ke hadapan, mempercepat reformasi, mempertingkat kepercayaan rakyat serta menyesuaikan peranan imigresen dengan cabaran semasa.
“Setiap inisiatif digerakkan dengan satu matlamat iaitu memastikan pengurusan imigresen yang cekap, berintegriti dan berimpak.
“JIM kekal komited untuk berkhidmat dengan profesionalisme, ketegasan dan tanggungjawab. Melangkah bersama, demi negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




