Lebih 5,000 pengunjung hadir Malam Munajat Terengganu sempena sambutan Ambang Tahun Baharu

Lebih 5,000 pengunjung hadir Malam Munajat Terengganu sempena sambutan Ambang Tahun Baharu

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Lebih 5,000 hadirin hadir memeriahkan Malam Munajat Terengganu (MMT) sempena sambutan Ambang Tahun Baharu.

Sambutan dimeriahkan dengan pelbagai pengisian antaranya Kuliah Maghrib bertemakan ‘Menghidupkan Jiwa dengan Al-Quran’, Malam Kesenian Islam, Alunan Seni Memakmurkan Rohani dan Bicara Murabbi bertajuk Indahnya Hidup Bersyariat.

Program yang bermanifestasikan rasa cinta kepada Ramadan yang bakal tiba dalam suasana yang tenang dan penuh ukhuwah itu berjaya menarik ribuan pengunjung dari seluruh pelusuk negeri.

Seorang pengunjung, Ahmad Roslan Abdul Rahman, 25, dari Besut berkata, pendekatan yang diambil kerajaan negeri harus dipuji kerana pengisian yang diterapkan adalah kerohanian.

“Biasanya malam tahun baharu akan disajikan dengan percikan bunga api namun pada malam ini program menjurus kepada keagamaan dan secara tidak langsung dapat menerap nilai-nilai keagamaan.

“Saya berpuas hati dan menyambut baik program MMT dan berharap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya ketika ditemui Dewan Arena, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, malam ini.

Menurutnya, ‘hidangan kerohanian’ amat perlu terutama kepada anak-anak muda ditambah pula pada malam ambang tahun baru yang umum mengetahui banyak berlaku perkara negatif sekiranya tidak dibendung.

Seorang lagi pengunjung, Mohamad Tarmizi Abdullah, 45, berkata, dia tidak hadir sendirian malah membawa anak dan isteri untuk sama-sama meraikan malam ambang tahun baharu melalui program kerohanian.

Menurutnya, dia hadir sejak Maghrib dan sempat menunaikan solat berjemaah serta mengikuti program yang diatur.

Katanya, kehadiran pendakwah bebas ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, juga amat dinantikan kerana mereka adalah murabbi ummah yang mampu memberi perincian dalam slot ceramah mereka pada malam ini.

“Alhamdulillah, penganjuran MMT yang banyak memberi manfaat buat segenap lapisan masyarakat di negeri ini dan penganjuran harus dikekalkan untuk tahun akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top