Tahun Melawat Melaka 2.0 dilancar, sasar 19 juta pelancong

Tahun Melawat Melaka 2.0 dilancar, sasar 19 juta pelancong

am@hmetro.com.my

Melaka: Kerajaan negeri melancarkan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2.0 sebagai kesinambungan usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri dan menyokong pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan sasaran 19 juta kehadiran pelancong sepanjang tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pelancaran TMM 2.0 mencerminkan tekad baharu kerajaan negeri untuk terus melangkah ke hadapan dan memacu momentum pembangunan ke tahap lebih tinggi, sejajar dengan azam tahun baharu 2026.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyusun lebih 220 acara pelancongan merangkumi pelbagai segmen termasuk kebudayaan, warisan, sukan, gastronomi dan hiburan bagi memastikan tarikan berterusan sepanjang tahun.

“Seiring dengan tekad ini, TMM 2.0 hadir sebagai satu gelombang baharu untuk merancakkan industri pelancongan Melaka dan seterusnya menyumbang kepada kejayaan VM2026,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran TMM 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, Kota Laksamana di sini malam ini.

Pelancaran disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Ab Rauf berkata, selaras dengan aspirasi Melaka sebagai negeri berasaskan kecerdasan teknologi, kerajaan negeri turut memperkukuh elemen pelancongan digital menerusi pelaksanaan Smart Tourism Melaka AI serta pengenalan Pasport Pelancongan Visit Melaka 2.0.

Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan pengalaman pelancong bukan sahaja tertumpu kepada keindahan dan keunikan Melaka, malah diperkaya dengan penggunaan teknologi pelancongan yang cekap, moden dan berdaya saing.

“Kita mahu pelancong pulang dengan rasa kagum bukan hanya terhadap produk pelancongan Melaka, tetapi juga terhadap kredibiliti dan kecanggihan sistem pelancongan yang ditawarkan.

“TMM 2.0 bukan sekadar kempen promosi, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin ekonomi rakyat yang membuka peluang pekerjaan, menghidupkan perniagaan tempatan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top