Tragedi di Pangsapuri Damai Ria: Lelaki maut dengan 11 kesan tikaman, disyaki dibunuh teman serumah

Tragedi di Pangsapuri Damai Ria: Lelaki maut dengan 11 kesan tikaman, disyaki dibunuh teman serumah

am@hmetro.com.my

Nilai: Seorang lelaki ditemui maut dengan 11 kesan tikaman pada badan di sebuah unit pangsapuri di Mantin, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam, disyaki dilakukan teman serumah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, susulan itu pihaknya menahan dua suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan di lokasi kejadian, petang semalam.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima satu laporan berhubung kejadian kematian seorang lelaki warga tempatan yang ditemui di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Damai Ria, Mantin.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan kes bunuh.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan di lokasi kejadian jam 5.15 petang semalam bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang juga teman serumah mangsa berusia 30-an itu direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Januari depan bagi tujuan siasatan lanjut.

Johari berkata, pemeriksaan forensik ke atas si mati dijalankan dan siasatan masih diteruskan secara menyeluruh membabitkan pelbagai sudut termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keterangan saksi, analisis forensik serta siasatan teknikal.

“Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan individu lain dan siasatan masih berjalan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

“Polis juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di IPD Nilai atau balai polis berhampiran.

“Kami memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan tegas demi memastikan keadilan ditegakkan serta keselamatan awam terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top